Tuesday, June 15, 2010

Piala Dunia cara Malaysia




BAGI peminat sukan bola sepak, menyaksikan perlawanan yang disiarkan secara langsung sambil bersantai bersama teman-teman di luar rumah seperti di warung dan restoran mamak sememangnya menyeronokkan.

Kehangatan semakin ketara apabila sepanjang perlawanan, penyokong kedua-dua pasukan yang berentap saling menyorak dan menjerit malahan tidak kurang pula yang sengaja cuba memberi 'tekanan' kepada peminat pasukan lawan.

Peminat yang agak ekstrem, masing-masing tampil dengan persalinan jersi original yang digunakan pasukan pujaan mereka sama ada peringkat kelab mahu pun negara dalam sesebuah kejohanan.

Apa yang pasti, kemeriahan menyaksikan perlawanan siaran langsung secara terbuka ini telah menjadi satu trend di kalangan golongan muda terutama di bandar-bandar besar dan kawasan yang agak urban.


SEPERTI dijangka, ramai yang hadir memeriahkan suasana dan acara.


Kelompok terbabit mula memilih lokasi terbaik terutama yang menawarkan tayangan siaran langsung melalui skrin gergasi.

Meskipun ada yang menganggap ia tidak lebih sekadar membuang masa namun hakikatnya aktiviti sedemikian bukan sahaja bermanfaat kerana memberi peluang para penyokong berkumpul tetapi juga mengeratkan hubungan sesama peminat bola sepak.

Justeru tidak hairanlah jika Institut Darul Ridzuan (IDR), sebuah institusi milik penuh kerajaan negeri Perak cuba mengetengahkan trend tersebut di negeri ini.

Bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung sekarang, IDR dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan sebuah syarikat swasta berpengalaman, Super Ekonomi Dot Com telah menganjurkan Perak Aman Jaya Fiesta Piala Dunia 2010.


PEMINAT bola sepak pelbagai bangsa dan warganegara turut kelihatan.


Bandar Teluk Intan yang cukup terkenal dengan keunikan Menara Condong, telah dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran yang julung-julung kalinya diadakan itu.

Dilangsungkan selama sebulan bermula dari 11 Jun lalu hingga 12 Julai depan, Perak Aman Jaya Fiesta Piala Dunia 2010 menjanjikan seribu satu pengalaman menarik kepada peminat-peminat bola sepak khususnya golongan muda di negeri ini.

Dua layar gergasi berukuran 12 x 12 kaki yang tersedia di premis terbuka berdekatan Menara Condong, mercu tanda bandar berkenaan. Ia mampu menerima kehadiran 6,000 penonton dalam satu-satu masa.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, selain menonton perlawanan yang disiarkan langsung terus dari Afrika Selatan, orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang fiesta berkenaan.


PELBAGAI aktiviti sampingan disediakan untuk disertai pengunjung.


Katanya, pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 30 unit permainan fusbal dan kesemua pengunjung boleh memperlihatkan skil dan ketangkasan masing-masing dalam mengendalikan permainan yang cukup popular di negara Eropah itu.

Selain itu ujar beliau, penganjur juga akan menayangkan koleksi video legenda-legenda dan bekas pemain bola sepak dunia khususnya yang telah mengecapi kegemilangan Piala Dunia pada era masing-masing.

"Perak Aman Jaya Fiesta Piala Dunia 2010 sebenarnya berkonsepkan kekeluargaan dan kita bukan sahaja mengalu-alukan golongan muda tetapi juga mereka yang berkeluarga terutama pada hujung minggu," katanya kepada Kosmo!.

Jelasnya, acara futsal junior melibatkan pelajar sekolah seluruh negeri Perak juga akan dilangsungkan di tapak fiesta pada setiap hari Sabtu dan Ahad, sepanjang temasya empat tahun sekali itu berlangsung.

Katanya, pihaknya menyasarkan lebih 500,000 pengunjung akan memeriahkan tapak fiesta dalam tempoh sebulan ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Aminudin Hashim memberitahu, perlawanan pertunjukan futsal antara pihak media Perak menentang pilihan artis tempatan akan diadakan di lokasi yang sama pada hujung minggu.

"Pada waktu itu juga, orang ramai dapat beramah mesra dengan artis pujaan masing-masing.

"Apa yang pasti, pihak penganjur telah menyediakan semua kemudahan berkaitan seperti kawasan letak kenderaan mencukupi, tempat menjamu selera yang berdekatan dan yang penting, tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke tapak fiesta," katanya.


BAGAIKAN temasya sebenar, pelancaran fiesta ini sangat meriah.


Acara harian akan bermula dari pukul 4 petang hingga 4 pagi untuk Isnin hingga Jumaat manakala 9 pagi hingga 4 pagi bagi setiap Sabtu dan Ahad.

Bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat terkini mengenai pasukan pilihan masing-masing, sebanyak 300 naskhah akhbar Kosmo! akan diedarkan secara percuma pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, 1,000 pengunjung pertama fiesta pada setiap hari Sabtu dan Ahad akan turut menerima senaskhah akhbar berkenaan yang ditaja khas oleh pihak penganjur.

Istimewa buat penduduk Teluk Intan dan seluruh negeri Perak, dengan paparan skrin gergasi, anda kini dapat menyaksikan kemeriahan aksi pasukan-pasukan terhebat, seolah-olah seperti di stadium.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: