KARYA ulung Uda dan Dara nukilan Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang terkenal dengan kisah cinta tanpa batasan melibatkan pasangan Uda dan Dara apabila tiada yang dapat menghalang mereka untuk berkasih sayang.
Namun di sebalik percaturan itu, pasangan tersebut terlupa bahawa perbezaan darjat, pangkat dan harta boleh memisahkan mereka.
Disebabkan enggan berpisah, mereka tetap mempertahankan cinta itu sehingga melakukan hubungan terlarang.
Bermula daripada puisi bertajuk, Gadis Di Kuburan, maka lahirlah naskhah Muzikal Uda dan Dara yang kini bakal dipentaskan buat kali kelima pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya.
Walaupun bukan pertama kali dipentaskan, namun ada yang teruja menantikan bagaimana teater arahan Datuk Rahim Razali itu akan dipentaskan buat pertama kalinya di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya bagi mengisi slot Sasterawan Negara.
Ada sumber mengatakan Rahim berani 'menelanjangkan' keseluruhan puisi Usman seperti bait puisi 'pelukan dan kucupan kasih tidak ada garisan sepi' yang menunjukkan si dara dan si teruna sebenarnya menjalin hubungan terlarang sebelum sempat bernikah di pelaminan.
Yang pasti, menurut pelakon Razali Hussain yang melakonkan watak Uda dalam muzikal tersebut, babak menceritakan tentang ‘nikah tanpa pelamin’ itu diterjemahkan dalam bentuk subteks.
“Kita tidak visualkan secara terang-terangan tetapi paparkan menerusi lagu dan tarian sebagai subteks kepada ‘nikah tanpa pelamin’.
“Tentang pernikahan tanpa pelamin, Uda dan Dara tidak bernikah tetapi cinta agung mereka mengatasi segala-galanya.
“Hanya mereka yang memahami puisi itu akan memahami subteks yang dipaparkan,” katanya kepada mStar Online semasa sidang media muzikal tersebut di Istana Budaya baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengarahnya, Rahim Razali turut mengiyakan bahawa muzikal itu tidak akan mevizualkan secara terang-terangan perkara yang sensitif seperti nikah tanpa pelamin itu.
“Itu hanya cakap-cakap sahaja. Kita tidak akan visualkan,” beritahunya ringkas.
Muzikal Uda dan Dara, terbitan UA Enterprise Sdn Bhd merupakan sebuah kisah cinta tragis antara anak tani bernama Uda dan gadis berada bernama Dara. Cinta mereka terhalang disebabkan isu darjat, kuasa dan kasta.
Ia turut dibintangi oleh beberapa pelakon dan penyanyi terkenal lain iaitu Razali Hussain sebagai Uda, Umi Kalsom (Ibu Uda), Betty Banafe (Ibu Dara), Mazlan Tahir (Alang Bakhil), Rosdeen Suboh (Uteh) dan Radhi Khalid (Pak Long).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: