SUNGAI PETANI: “Perbuatan kamu ini umpama haruan makan anak dan ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Rusita Md Lazim ketika menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 49 tahun yang didapati bersalah merogol anak kandungnya pada 2002 hingga 2008.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
Tertuduh berusia 42 tahun manakala anak perempuannya berusia tujuh tahun ketika kejadian pertama berlaku ditahan pada 7 Mei 2008 selepas mangsa yang pada masa itu berusia 13 tahun membuat laporan di Balai Polis Kupang bersama keluarganya.
Rusita berkata, pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mendapati tertuduh bersalah kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadilah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Rusita berkata, hukuman itu setimpal dengan perbuatan tertuduh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama mangsa yang masih terlalu kecil ketika kejadian.“Kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, tetapi melakukan perbuatan keji dan kejam terhadap mereka, malah kamu tidak menghiraukan sedikit pun jeritan kesakitan anak kecil ketika melakukan perbuatan itu,” katanya.
Sementara itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap seorang lagi anak perempuannya pada 2008 di rumah sama.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: