KECANGGIHAN era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membuka ruang kepada para blogger bergiat aktif dalam alam siber.
Mereka tidak hanya menjadikan blog sebagai medium komunikasi dalam bentuk penulisan ataupun pengimejan malah memasarkan produk tertentu bagi menjana pendapatan.
Kini pemilik-pemilik blog mempunyai cara lebih mudah dan pantas untuk meraih pendapatan melalui blog mereka dengan menggunakan rangkaian iklan blog terbaru iaitu ManggaAd.
ManggaAd yang baru dilancarkan pada penghujung Mei lalu adalah kerjasama antara Kumpulan Utusan dan AdExcel, sebuah syarikat mempunyai kepakaran dalam bidang sosial media dan teknologi digital web 2.0.
Rangkaian iklan blog terbaru ini dikendalikan oleh mereka berpengalaman dari Utusan Media Sales (UMES), Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dan Adexcel sendiri yang diberi nama ManggaAd Team.
Ketua Pegawai Eksekutif AdExcel, Darren Lee, berkata, ManggaAd memberi peluang kepada pemilik-pemilik blog untuk menjana pendapatan untuk kandungan blog mereka melalui kempen-kempen iklan dengan lebih berkesan.
"Selain daripada menjana pendapatan, kelebihan ManggaAd adalah blogger-blogger dapat berkenalan dengan blogger lain yang turut menggunakan rangkaian iklan blog terbaru ini.
"Ciri ini memberi peluang kepada blogger berkongsi pertalian untuk menjana lebih trafik ke laman mereka sekali gus meningkatkan interaksi," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Darren Lee menambah, ManggaAd dapat memainkan peranan sebagai rangkaian sosial untuk blogger-blogger mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan bertukar pendapat dengan pengguna lain.
Ujarnya, antara muka menarik dan mudah dikendalikan menjadi tarikan kepada mereka yang menggunakan produk terbaru di alam siber ini. ManggaAd turut mendapat sokongan syarikat akhbar berpengaruh di Malaysia.
"ManggaAd turut mengetengahkan medium iklan interaktif berbanding dengan iklan statik yang agak membosankan. Pendekatan tersebut dijangka dapat menarik lebih ramai orang untuk mengunjungi sesuatu blog dan meningkatkan lagi pendapatan.
"Penggunaan ManggaAd amat mudah dan pantas. Blogger-blogger ini hanya perlu mendaftar dengan tiga langkah mudah iaitu daftar akaun baru, aktifnya dan menggunakan widget kami di laman web atau blog mereka," katanya.
Dalam pada itu, Darren Lee menambah, pengiklan turut dapat menikmati faedah menggunakan ManggaAd kerana berupaya mendapat pendapat dan maklum balas dengan serta merta mengenai iklan dari pengguna Internet.
"Melalui pengiklanan sosial ini pengiklan dapat mengetahui trend terkini apa yang diinginkan pengguna Internet masa kini. Mereka tidak perlu lagi memikirkan untuk mengambil pakar-pakar pengiklanan yang mahal sekali gus menjimatkan kos pengiklanan.
"Pelbagai aktiviti akan diatur seperti pertandingan menawarkan hadiah-hadiah untuk menarik lebih ramai pengunjung menggunakan rangkaian iklan blog ManggaAd.
Sementara itu, Editor, Projek Khas (Online) UKSB, Mohd. Rosli Manah, berkata, pengguna rangkaian iklan blog ManggaAd boleh memilih menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.
Katanya, setakat ini ManggaAd berjaya menarik lebih 1,000 pengguna sejak ia dilancarkan dan dijangka lebih ramai akan menggunakan perkhidmatan terbaru tersebut.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian iklan blog ManggaAd boleh melayari laman web ManggaAd.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: