|
|
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah gambaran kehidupan seorang suri rumah, Maimunah Chik, 49, yang terpaksa menjaga dua anak istimewa yang menghidap penyakit cerebral palsy.
Demi kasih sayang yang tidak bertepi, Maimunah yang menetap di Lorong Wan Chik off Jalan Salleh, Muar, Johor, tidak pernah mengeluh jauh sekali untuk mengalah dengan kesukaran menjaga anak-anaknya itu.
Akibat penyakit yang ditanggung sejak bayi, anak sulong dan bongsunya, Syafiqah Mohamad Saidin, 18, dan Nor Arina, 12, langsung tidak boleh bergerak dan bercakap, sebaliknya hanya terbaring dengan makan serta minumnya sentiasa bersuap.
Semua tugas menguruskan kedua-dua anak tersebut termasuk membersih dan memandikan mereka dilakukan dengan kudrat empat kerat Maimunah.
Menurut wanita cekal ini, kedua-dua beradik itu dilahirkan secara pembedahan (caesarean) kerana masalah yang timbul ketika dalam kandungan lagi.
Cerebral palsy merupakan keadaan di mana perkembangan otak tidak normal yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh, biasanya disebabkan kecederaan semasa kelahiran.
''Semasa di dalam kandungan lagi, doktor sudah menyatakan bahawa mereka ini mempunyai masalah dan kemungkinan cacat sepanjang hayat.
''Jika diikutkan, mereka sepatutnya dibawa menjalani rawatan fisioterapi tetapi apakan daya saya tidak mampu.
''Bagaimanapun saya terima keadaan ini dengan reda dan menganggapnya qada dan qadar daripada Allah SWT,'' ujarnya ditemui ketika kunjungan kebajikan oleh kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur dan Singapura ke rumahnya baru-baru ini.
Menurut Maimunah, kedua-dua anaknya itu membesar dalam keadaan tidak sempurna seperti insan lain di mana kaki dan tangan membengkok manakala susuk badan lebih kecil daripada usia.
Walaupun kedua-dua mereka hanya mampu terbaring dan sesekali merengek apabila berkehendakkan sesuatu, mereka masih memahami apa yang diperkatakan di sekeliling mereka.
Mereka juga masih bertuah kerana selain mempunyai seorang ibu yang sentiasa tabah dan tidak pernah jemu menjaga serta membelai setiap masa, Syafiqah dan Nor Arina masih lagi mempunyai seorang saudara kandung yang normal, Nur Amanina, 16.
Biarpun begitu, di sebalik ketabahan dan wajah tenang Maimunah tersirat 1001 bebanan yang perlu ditanggung untuk membesarkan anak-anaknya yang cacat.
Ini kerana satu-satunya tempat dia bergantung hidup untuk membesar dan menyara tiga orang anaknya, iaitu suami tercinta, Mohamad Saidin Ismail telah meninggal dunia akibat penyakit misteri pada bulan Mac lalu.
Jelas Maimunah lagi, dia bukannya tidak mahu bekerja tetapi keadaan tidak mengizinkan dia berbuat demikian memandangkan tiada sesiapa yang mampu menjaga anak-anaknya.
''Sejak kecil kami tidak pernah berenggang dengan dan setiap perkembangan berlaku di depan mata saya.
''Segala kerja saya perlu lakukan sendiri termasuk menyuapkan makan dan minum mereka, menyalin baju serta membersihkan najis mereka.
''Setakat ini tiada siapa mampu menggantikan saya bagi melakukan kerja-kerja itu termasuk termasuklah anak kedua saya,'' tambahnya.
Bagaimanapun Maimunah tetap bersyukur kerana menerima bantuan RM600 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) biarpun selalunya ia tidak cukup untuk menampung keperluan Syafiqah dan Nor Arina.
Ini kerana Syafiqah dan Nor Arina memerlukan lampin pakai buang setiap hari di samping minum susu khas.
Justeru dia begitu terharu apabila menerima kunjungan oleh ahli-ahli kelab motosikal berkuasa besar yang datang menyumbang dua kerusi roda, tilam, barang-barang keperluan dan wang tunai.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Captain Bikerz Singapura yang turut disertai kelab-kelab lain seperti Kelab Retrosuperbike Malaysia, Retrosuperbike Singapura, Muar Bikers, STOC Singapura, Roger Bikers, Kajang Bikers, dan Malaysia Easy Rider Community.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: