Monday, June 14, 2010

Lima jam padam kebakaran


API yang membakar rumah kedai di bandar Pasir Mas, Kelantan sukar dipadamkan apabila anggota bomba dan penyelamat berhadapan dengan masalah air malam kelmarin.


PASIR MAS - Seramai 40 anggota bomba dan penyelamat dari enam balai terpaksa bertungkus-lumus hampir lima jam bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan empat lot kedai lima tingkat di pusat bandar itu malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Azmi Othman berkata, operasi memadam tersebut amat sukar dilakukan kerana pihaknya berdepan dengan masalah tekanan air rendah di sekitar bandar itu.

"Akibat tekanan air rendah, kita terpaksa mengepam air dari Sungai Kelantan yang terletak sejauh hampir satu kilometer dari tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.45 malam.

"Ketika bomba memulakan kerja-kerja memadam, kebakaran di tingkat tiga bangunan sudah mencapai 80 peratus musnah dan api marak dengan cepat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Difahamkan masalah bekalan air di sekitar bandar Pasir Mas berlaku secara serius sejak dua bulan lepas.

Mohd. Azmi berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran kira-kira pukul 11.32 malam dan operasi memadam melibatkan 40 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Rantau Panjang, Jalan Darul Naim, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: