Wednesday, June 23, 2010

Lan Pet Pet menangis dalam Zoo


SALAH satu babak lakonan (dari kanan) Bob Lokman, Lisa Surihani dan Lan Pet Pet dalam Zoo.


LAN Pet Pet menangis di lokasi penggambaran? Tentu ramai yang tidak percaya. Macam mana hendak percaya sebab anggota kumpulan Senario itu dikenali sebagai pelawak yang sentiasa ceria. Malah dia dikatakan berkelakuan ‘gila-gila’ setiap kali muncul di pentas persembahan atau filem.

Jadi apabila ada yang mengatakan hati pelawak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mudah tersentuh dan mampu menitiskan air mata susah hendak diterima.

Menurut pelakon dan pelawak berusia 40 tahun itu, pertama kali dia tidak dapat menahan sebak lantas terus menangis ialah sewaktu menjalani penggambaran filem Zoo di Zoo Negara, Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya, sejak bergelar pelakon 14 tahun lalu, itu merupakan kali pertama dia menangis di lokasi penggambaran biarpun Zoo bukanlah sebuah kisah sedih, sebaliknya cerita komedi.

“Saya menangis sewaktu melakonkan adegan watak Ad yang kena buang kerja.

“Ia mengingatkan insiden saya kena buang kerja selepas menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan pada pertengahan tahun 1990-an,” katanya.

Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad ketika ditemui selepas pratonton filem Zoo di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu berkata, hatinya tersentuh apabila melakonkan adegan yang hampir menyamai pengalaman hidupnya.

Zoo bukan sahaja merungkai pengalamannya pernah dibuang kerja di Alor Setar pada tahun 1994 tetapi ia merupakan sebuah filem yang menjadi idamannya.

“Sejak kecil saya bercita-cita menjadi Tarzan. Ini kerana saya minat dengan binatang. Apabila ditawarkan berlakon dalam Zoo, saya anggap ia sebagai memenuhi impian saya selama ini.

“Malah, ini adalah filem pertama saya melakonkan watak utama atau hero selepas sekian lama menjadi pelakon. Selama ini saya sentiasa berdoa supaya dapat berlakon dengan binatang dan Allah telah makbulkan doa saya,” jelasnya.

Cadang Zoo masuk MBR

Sementara itu penerbit Zoo, MIG Productions Sdn. Bhd. (MIG) mencadangkan supaya filem itu dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai filem Melayu pertama menggabungkan elemen manusia dan haiwan dalam pembikinannya.

Menurut Penerbit MIG, David Teo, Zoo menampilkan kelainan dalam jalan ceritanya yang mengisahkan manusia dan binatang saling berkomunikasi di dalamnya.

“Sebelum ini belum pernah ada watak binatang dan manusia bercakap dalam filem. Ini adalah genre yang baru yang kami cuba ketengahkan dalam filem terbaru MIG yang akan ditayangkan kelak.

“Sebab itu, kalau boleh saya mahu memasukkan filem Zoo dalam Malaysia Book of Records.

“Lebih separuh daripada pelakon filem ini terdiri daripada binatang seperti gajah, monyet, musang dan ular yang dipinjamkan daripada Zoo Negara. Lebih separuh penggambaran filem ini juga diadakan di sana,” katanya.

Selain itu, jelas David, Zoo juga memberi cabaran berbeza kepadanya dalam menerbitkan sebuah filem yang berkisar tentang binatang kerana ia memerlukan tenaga jurulatih yang berpengalaman bagi mengendalikannya.

Apatah lagi katanya, banyak penggambaran di Zoo Negara yang dijalankan pada waktu malam.

“Setiap binatang yang kami tampilkan mempunyai pelatihnya yang tersendiri. Tanpa mereka sukar penggambaran membabitkan binatang boleh diadakan.

“Tetapi cabaran utama saya ialah tayangan filem ini diadakan selepas habisnya cuti sekolah pada 20 Jun ini. Ketika itu orang juga sibuk menyaksikan Piala Dunia. Hendak buat macam mana kerana ini adalah tarikh Syarat Wajib Tayang yang saya dapat. Saya berserah pada rezeki sahaja,” harapnya.

Tambah David, Zoo yang menelan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.7 juta mensasarkan kutipan tiket filem itu RM5 juta apabila ia ditayangkan di pawagam-pawagam kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: