Friday, June 4, 2010

Lagu Lebih Popular Berbanding Anggota 6ixth Sense

Bukanlah suatu yang ganjil peminat selalunya lebih mengenali vokalis dan lagu yang didendangkan berbanding ahlinya yang lain. Lima tahun dalam industri dan hanya Adi diketengahkan manakala ahli lain berselindung di sebalik nama 6ixth Sense. Walaupun begitu, band ini tetap kukuh bertahan mencipta kejayaan namun peminat masih kabur akan kehadiran orang penting di belakang vokalis utamanya.

"Kami bersyukur sebenarnya kalau orang lebih kenal lagu 6ixth Sense lebih daripada ahli band kerana kami lebih suka dikenali kerana muzik dan karya yang dicipta, bukan populariti setiap ahli. Bermakna kami berjaya mencipta karya yang baik.

"Jika peminat tahu dan sukakan lagu kami, itu sudah cukup baik. Rata-rata peminat di Malaysia kenal 6ixth Sense dan kami sedang cuba mengintai peluang di Indonesia. Walaupun pernah mencuba nasib menerusi lagu Tak Bisa Memilihmu dan berjaya masuk dalam carta di sana, namun itu belum cukup kuat untuk kukuhkan kedudukan. Namun itu membuktikan kami mempunyai golongan peminat tersendiri

"Terlalu banyak band di sana menjadikan persaingan sangat kuat. Untuk album terbaru, kami cuba kuatkan jentera promosi untuk takluk pasaran Indonesia September ini dan harap peminat di sana dapat terima kehadiran kami," ujar Adi ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran album ketiga berjudul + - x / yang memuatkan lagu yang dirakam di Bandung, Indonesia.

Formula Baru 6ixth Sense

+ - x / (tambah, tolak, darab, bahagi). Mangga Online (MO) cuba mengerti makna tersirat yang cuba disampaikan 6ixth Sense melalui album terbaru mereka. Namun itulah formula kehidupan yang menentukan perjalanan manusia.

"Kami tahu susah nak sebut tajuk album kami. Memang sengaja pilih begitu sebab akan menimbulkan rasa ingin tahu dan peminat akan dapat jawapannya dalam setiap lagu yang dimuatkan di dalamnya. Kita perlu tambahkan (+) perlakuan baik, menolak (-) segala sifat jahat, gandakan (x) usaha mencari rezeki halal dan agihkan (/) rezeki buat yang lain.

"Tiga buah lagu dirakam di Bandung antaranya Haruskah, Yang Sempurnakanku dan Cinta Matiku. Sengaja berubah mood dan pengalaman di sana sangat berbeza jika dibandingkan dengan cara di Malaysia.

"Setakat ini tiga lagu sudahpun mula dimainkan di radio iaitu lagu Cinta Matiku, Haruskah dan Yang Sempurnakanku. Khatimah cinta dan Kita Boleh iaitu lagu kemerdekaan juga dimuatkan di dalamnya," tambahnya yang baru memenangi Lagu Paling Popular menerusi GAH 1.

Hadir Bersama Teman Istimewa

Asyik berbicara soal kerjaya, Adi mengejutkan media apabila mengakui hatinya kini sudah dimiliki gadis bernama Zita. Hubungan yang baru berputik itu diharapkan bakal berakhir ke jinjang pelamin. Malah gadis berusia 24 tahun itu sempat hadir memberikan sokongan sewaktu majlis berlangsung.

"Kami kenal sudah setahun lebih, tapi baru serius sejak beberapa bulan lalu. Saya pernah tetapkan target untuk kahwin semasa umur 25 tahun tapi tak menjadi so saya serahkan segalanya kepada takdir," katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: