PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menafikan anggota penguat kuasa agama mereka bertindak kasar ke atas orang awam termasuk pelakon Ifa Raziah ketika menjalankan tugas membanteras maksiat.
Pegawai perhubungan awamnya, Mohd. Nasir Mohd Dani berkata, setiap pegawai penguat kuasa yang dilantik pada kebiasaannya akan melaksanakan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam negeri itu.
Untuk kes Ifa Raziah itu kata Mohd. Nasir, pihaknya berkemungkinan telah mendapat aduan daripada orang ramai tanpa mengetahui pelakon itu bersama suaminya di dalam bilik.
“Saya rasa dalam kes Ifa itu, pihak penguat kuasa telah mendapat aduan lebih awal dan semasa serbuan dibuat, pegawai berkenaan tidak mengetahui lelaki berkenaan adalah suami Ifa,” jelasnya.
Bagaimanapun jelas Mohd. Nasir, dia tidak menerima sebarang aduan berhubung serbuan ke atas pelakon itu sebaliknya hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan oleh mStar Online.
Akhbar Mingguan Mstar Ahad lalu melaporkan perasaan marah Ifa Raziah apabila pihak terbabit bertindak kasar serta menolak suaminya, Mohd. Yani Abdul Rahman ketika membuat serbuan ke bilik mereka pada cuti Hari Wesak bulan lalu.
Pasangan itu menginap di sebuah hotel di Chanlun, Kedah, kerana terlibat dalam pembikinan drama Dari Kodiang ke Kuala Lumur.
Kata Ifa, pegawai berkenaan tidak memohon maaf di atas perbuatan mereka selain cuba menuduhnya berkhalwat tanpa mengetahui lelaki di dalam bilik hotel tersebut adalah suaminya.
Jelas Mohd. Nasir lagi, pihaknya tidak menafikan kebarangkalian ada pihak luar yang menyamar menjadi pegawai penguat kuasa agama dengan tujuan untuk mengambil kesempatan.
Kejadian seperti itu katanya biasa berlaku di Kedah terutamanya di tempat-tempat awam.
Tambahnya, pihak JAIK akan menunjukkan kad kuasa sebelum memulakan siasatan yang selalunya turut disertai lebih tujuh orang petugas termasuk anggota polis.
"Kami ada prosedur seperti menunjukkan kad pengenalan diri dan selepas itu barulah siasatan dilakukan. Malah pihak JAIK sendiri akan mengambil tindakan kepada anggota penguat kuasa yang didapati melakukan kesalahan seperti itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: