Tuesday, June 15, 2010

Kes Apek : Astro & TV3 Tiada Hak Ambil Tindakan, Seniman Pula Pandang Serius

Saiful Apek.

PETALING JAYA: Stesen televisyen Astro dan TV3 mengesahkan pelawak Saiful Apek bukan residen artis mereka dan kedua-dua stesen televisyen itu tidak mempunyai hak untuk mengambil sebarang tindakan keatasnya.

Unit perhubungan awam stesen televisyen Astro sewaktu dihubungi berkata, pihaknya tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan kerana kes melibatkan Apek itu masih belum diputuskan oleh mahkamah sama dia bersalah ataupun tidak.

"Apek bukan artis kami dan kami tidak ada apa-apa tindakan terhadapnya," kata pihak Astro.

Pihak TV3 juga mengambil pendekatan serupa dan menyatakan pelawak itu tidak mengikat apa-apa kontrak dengan mereka.

Harun Salim Bachik.

Sementara itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memandang serius kes melibatkan Saiful Apek akibat dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Presidennya Harun Salim Bachik berkata sepatutnya kes-kes seumpama itu yang sering berlaku dikalangan artis selama ini menjadi iktibar kepada Apek dan semua pihak.

Katanya, mereka perlu menjauhkan diri daripada najis dadah.

"Nampaknya masih ada artis yang tidak ambil pusing dengan kes-kes penyalahgunaan dadah," katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu, Harun menggesa artis-artis supaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam perangkap dadah.

"Saya minta kerjasama artis-artis tolong jauhkan diri daripada dadah kerana ia tidak membawa mereka ke mana-mana. Apabila disiarkan di media ia akan menjejaskan reputasi individu terbabit.

"Fikirkanlah tentang keluarga. Kalau bersalah dah tentu masyarakat akan pandang serong," katanya.

Memandangkan gejala penyalahgunaan dadah masih berleluasa di kalangan artis, Harun berkata, Seniman terpanggil untuk mengadakan program kesedaran untuk golongan itu.

Katanya, Seniman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) untuk merangka program tersebut.

Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Mereka ditahan di rumah Saiful di Jalan PJS7 Subang Jaya di sini kira-kira pukul 10 malam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apek sebelum ini pernah terlibat dalam racangan Jangan Tidur Lagi terbitan TV3 serta banyak berlakon filem-filem komedi antaranya Senario, Senario Lagi dan Anak Mami Kembali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: