![]() |
| KARTIKA ketika hadir di pejabat Kosmo! Ipoh semalam. |
IPOH - Setelah dua bulan membisu sebaik selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu pada April lalu, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, semalam tampil sambil menyatakan dirinya kini lebih tenang.
Kali ini bekas model sambilan itu menyatakan mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan kerjaya.
Walaupun Kartika masih tidak dapat melupakan pengalaman selama tiga minggu di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan tempoh hari namun ia menjadi azimat kepadanya meneruskan kehidupan.
"Demi menjunjung titah Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah saya merelakan hati menabur bakti di sana meskipun ketika itu hanya Allah yang tahu apa sebenarnya yang tersirat di dalam hati ini.
"Berpisah dengan dua anak termasuk salah seorang daripadanya anak istimewa sangat meruntun jiwa, namun saya percaya segalanya mempunyai hikmah tersendiri," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Hadir sama, bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib.
Menurut Kartika, dia menamatkan hukuman khidmat masyarakat itu pada 22 April lalu dan kehadirannya sebagai sukarelawan di rumah kebajikan itu dialu-alukan kakitangan dan warga premis terbabit.
Bagaimanapun, dia mengaku ada berlaku beberapa insiden yang mengejutkan semasa menetap di rumah tamu yang disediakan pihak pengurusan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: