Dua jam menonton KAPOWW penuh dengan derai tawa melihat aksi lucu dan mencuit hati yang dihidangkan Azizi 'Chunk' Adnan. Puas hati melihat hasil kerja pengarah kreatif ini sehinggakan selepas tamat pra tonton filem ini pun, Mangga Online (MO) masih boleh ketawa apabila teringat lawak bersahaja dan gila-gila Kapoww. Setiap lawak menjadi dan setiap yang menonton begitu enjoy menikmatinya. Walaupun pada awalnya langkah agak berat untuk menonton filem ini kerana pengalaman lepas melihat aksi dan lawak yang sengaja dibuat-buat untuk memaksa penonton ketawa amat memualkan. Telahan MO nyata meleset, Kapoww memang layak diangkat sebagai filem paling komedi tahun ini.
Jalan ceritanya ringkas, bagaimana Atoi (Zizan Raja Lawak) lupa diri setelah menjadi superhero terkenal dan kehilangan segala-galanya membuatkannya sedar kembali. Begitu mudah untuk difahami, namun garapan kreatif dengan suntikan elemen lucu dan gila-gila menjadikanya amat menarik dan MO jamin penonton pasti akan ketawa besar.
Bagi Azizi sendiri, idea ini lahir daripada dirinya yang begitu meminati superhero dan menyimpan impian menjadikannya dalam versi Melayu.
"Saya suka spoof dan banyak adegan dalam Kapoww saya jadikan begitu. Dari kecil saya sukakan Ultraman dan teringin untuk jadikannya dalam versi Melayu. Walaupun Kapoww adalah filem komedi, namun tetap terselit pengajaran di dalamnya.
"Zizan bijak membawakan watak dan sentiasa tahu apa yang harus dilakukan. Memang saya sengaja pilih hero underdog dan slumber. Saya tak mahu yang kelihatan gagah dan kacak kerana jika tersilap memilih pelakon, watak Atoi tak akan berjaya. Zizan bijak membuat kelakar dan bermain emosi jika diperlukan," tambahnya.
Apa yang pasti, setiap karektor ditonjolkan dengan keistimewaan dan mempunyai kepentingan di dalam filem ini. MO berikan pujian kepada Zizan dengan lawak bersahaja dan lakonan yang memberansangkan dalam filem pertamanya. Tak perlu pertikaikan di mana logik filem ini kerana ianya hanya imaginasi individu yang ingin berkongsi idea kreatif. Antara superhero yang diperkenalkan dalam filem ini adalah Astromen Mak (Rosnah Mat Aris), Astromen Wau (Awie), Astromen Belalang (Harun Salim Bachik) dan Astromen Siput Sedut (Delyla).
Filem ini turut dibintangi Lisa Surihani, Afdlin Shauki, Norlia Ghani, Khir Rahman, Bandi Amuk dan Shidi Ishak. Saksikan filem komedi gila-gila ini di pawagam berhampiran bermula 17 Jun 2010. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: