Sunday, June 27, 2010

Kaji semula jambatan

MODEL Jambatan Bengkok yang dibatalkan pembinaannya pada 12 April  2006.
MODEL Jambatan Bengkok yang dibatalkan pembinaannya pada 12 April 2006.
PM tak tolak projek ganti Tambak Johor diterus

KUANTAN: Kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan dari Johor ke Singapura bagi menggantikan Tambak Johor yang kini berusia 86 tahun, selepas pembinaan Jambatan Bengkok dibatalkan pada 12 April 2006.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan membina jambatan dari Johor ke Singapura yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini kerana ia amat penting kepada rakyat. Akan dikaji, kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, semalam.Sebelum itu, di JOHOR BAHRU; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, pembinaan semula jambatan itu akan melengkapkan peranan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar serta Kompleks JB Sentral yang baginda rasmikan semalam.

Titah baginda, sejak zaman pemerintahan moyang baginda hingga kepada Almarhum Sultan Iskandar, istana sentiasa memberi sokongan untuk menaik taraf Tambak Johor malah, baginda sendiri terbabit memberi pandangan pembinaan Bangunan Sultan Iskandar, JB Sentral dan jambatan berkenaan pada 2003.

Apabila ada masalah memindahkan penduduk di Flet Lumba Kuda dan Bukit Chagar bagi membina bangunan ini, kami berikan tanah milik Kesultanan Johor secara percuma di Kampung Bakar Batu seluas 10.8 hektar untuk penempatan baru penduduk.

Saya yakin rakyat Johor gembira, tetapi ada sedikit cacat kerana jambatan masih belum dilaksanakan. Kerana itu saya minta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pembinaan jambatan yang ditunggu rakyat itu, titah baginda ketika merasmikan kompleks JB Sentral di sini, semalam.
Sambil melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri atas kejayaan membangunkan Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, Sultan Ibrahim bangga kerana bangunan itu dibina kontraktor Bumiputera dari negeri itu dan siap mengikut jadual.

Baginda berharap lebih banyak projek kerajaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera di negeri itu kerana kemampuan mereka terbukti dalam membangunkan projek mega.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; isteri Sultan, Raja Zarith Sofiah; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Projek pembinaan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atas perkiraan ia menelan belanja besar iaitu RM2.379 bilion walaupun pada waktu itu kira-kira lima peratus kerja asas pembinaan sudah siap.

Berikutan pembatalan pembinaan jambatan itu kerajaan membayar pampasan RM222.4 juta kepada syarikat kontraktor yang dilantik, Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB).

Pampasan yang dibayar kerana ia membabitkan pelbagai kos yang ditanggung kontraktor terutama tempoh 24 bulan mereka berada di tapak projek termasuk kos membayar gaji pekerja.

Dilaporkan, keputusan tidak meneruskan projek itu dibuat selepas mengambil kira masalah khususnya berkaitan undang-undang antarabangsa dan perjanjian air dengan Singapura.

Perkara itu termasuk peruntukan di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982, Perjanjian Air Johor-Singapura 1961 dan 1962, Perjanjian Wayleave dan Separation Agreement 1965.

Projek pembinaan jambatan di bawah pakej Projek Gerbang Selatan Bersepadu itu asalnya mempunyai dua pakej iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) dan pakej Jambatan Bengkok serta Jambatan Kereta Api iaitu Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB). Kos asal pakej pembinaan jambatan bengkok dan jambatan kereta api adalah RM1.113 bilion.

Mengikut perancangan, projek pembinaan jambatan saja membabitkan kos RM600 juta dan tempoh pembinaan sekitar 36 bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: