Anang dan Syahrini
KETIKA mantan isterinya sedang meratapi kemusnahan pelamin yang diangankannya, si suami pula asyik mengulit bahagia apabila dikatakan sedang hangat memadu asmara dengan seorang penyanyi yang tidak kurang jelita. Malah, kisah cinta membabitkan duda popular dan perawan idaman ramai ini begitu hangat diperkatakan terutama di negara kelahiran mereka.
Justeru, kehadiran pasangan ini ke ibu negara bagi mempromosikan album duet mereka yang mengandungi dua lagu iaitu Jangan Memilih Aku dan Cinta Terakhir ini memberikan peluang kepada media tempatan menggali kebenaran apakah mereka berdua ini sebenarnya pasangan kekasih?
Melihat kepada aksi mereka tatkala menyanyikan lagu Jangan Memilih Aku pada majlis sidang media yang berlangsung di Hard Rock Cafe, baru-baru ini, tentu ada yang membenarkan kenyataan itu. Berdasarkan bahasa tubuh, lirikan mata serta luahan jiwa saat melontarkan bait-bait lirik yang penuh puitis itu, seolah-olah menterjemahkan ada tali yang sedang mengikat mereka berdua.
Hip: Apa memang benar kamu berdua sedang hangat bercinta seperti yang digembar-gemburkan media di Indonesia?
Anang: Apabila kami memilih untuk merakamkan album duet, saya tahu mungkin ramai yang menyangkakan kami sebenarnya bercinta. Sejujurnya kami tidak bercinta seperti digembar-gemburkan. Mungkin selepas peminat mengetahui pengalaman hidup saya ditambah mendengar lagu Separuh Jiwaku Pergi membuatkan ramai yang menganggap saya tak boleh hidup bersendirian dan mengharapkan supaya saya kembali berumah tangga. Tapi buat masa ini, saya masih lagi bersendirian.
Soal jodoh, biarlah masa menentukan. Walaupun ramai yang mahukan saya bertemu jodoh dengan Syahrini, hakikatnya saya sendiri tidak tahu dengan siapa saya bakal dipertemukan kelak. Apa pun, saya tidak pernah menetapkan siapa jodoh saya, apakah dia seorang artis atau orang biasa, saya tidak kisah asalkan dia boleh menerima saya dan anak-anak.
Syahrini: Hubungan kami sebenarnya tidak lebih lebih daripada sekadar teman bekerja. Memang kami sedang bercinta tetapi hanya ketika berada di atas pentas. Apabila kami menyanyi bersama, mungkin kelihatan jelas seperti kami berdua sedang bercinta, walhal hakikatnya tidak sebegitu. Saya memang menyintai Anang tetapi dari segi hasil karyanya saja. Tapi kalau berbicara soal masa depan, semua terserah kepada takdir. Saya tidak berani berkata apa-apa.
Hip: Kalau tidak bercinta, adakah album duet ini diterbitkan sebenarnya bertujuan untuk membalas dendam terhadap Krisdayanti?
Anang: Tidak timbul soal balas dendam di sini. Sebagai pengkarya, saya hanya menghasilkan muzik yang berkualiti untuk hiburan pendengar. Mungkin secara kebetulan album duet ini dihasilkan selepas rumah tangga saya menemui kehancuran menyebabkan ramai yang menyangkakan saya sengaja menghasilkan album ini untuk menunjukkan yang saya juga mempunyai seseorang yang istimewa selepas perkahwinan kami berantakan. Bagi mereka yang berfikiran sebaliknya, mereka bebas untuk melontarkan pandangan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila sebuah karya itu sering dikaitkan dengan kehidupan realiti si penciptanya.
Syahrini: Album duet ini terhasil sebenarnya selepas saya meminta Anang untuk menyumbangkan lagu untuk album kedua saya. Sebelum ini saya tidak pernah ketemu dengannya. Kami berjumpa ketika saya dan dia menghadiri sebuah acara anugerah anjuran salah sebuah stesen televisyen. Di situ saya meluahkan hasrat untuk menyanyikan lagu ciptaannya. Kebetulan Anang mempunyai lagu baru yang sesuai untuk dinyanyikan secara duet, jadi dia meminta saya untuk menjadi teman kolaborasinya. Memikirkan itu adalah langkah awal untuk memperkenalkan saya di Malaysia, jadi saya menerima pelawaan itu dengan senang hati.
Hip: Ini bermakna, Syahrini menggunakan Anang sebagai batu loncatan untuk membina nama?
Syahrini: Saya tidak pernah menumpang status Anang untuk menjadi popular. Sebenarnya saya sudah berada di persada muzik Indonesia kira-kira dua tahun lalu. Cuma album saya itu yang berjudul My Lovely tidak dipasarkan di Malaysia.
Jika benar album gandingan ini mampu melonjakkan nama saya sehingga ke luar Indonesia, itu sudah cukup bagus buat saya. Mungkin ia satu petanda baik untuk album saya yang bakal memuatkan lagu ciptaan Anang ini nanti. Insya-Allah, selain album solo, saya juga bakal muncul dengan album berkonsepkan kerohanian pada Ramadan nanti.
Hip: Apakah gosip yang mengaitkan kamu berdua adalah paling teruk yang pernah kamu alami?
Syahrini: Memang benar. Sepanjang saya menjadi artis, ini baru kali pertama saya berdepan dengan gosip paling panas yang berkaitan hal peribadi saya. Malah baru sebentar tadi di televisyen Indonesia menyebarkan perkara tidak benar membabitkan kami berdua. Tapi buat apa saya mahu marah-marah. Biarlah mereka mahu bercakap apa saja. Kalau mahu marah sekali pun, ia hanya membuang tenaga saya. Apa yang pasti, saya berada di jalan yang benar dan mahu terus memperbaiki kualiti diri. Buat mereka di luar sana yang masin memperkatakan hal kami berdua, saya doakan mereka semua supaya bertaubat saja.
Hip: Khabarnya, kamu cukup rapat dengan kedua anak Anang.
Syahrini: Ya kami memang rapat. Malah mereka memanggilku dengan panggilan auntie. Mereka adalah anak-anak yang sangat pintar, bijak dan ceria. Mereka menerima saya dengan baik sekali dan saya sayang mereka.
Hip: Mungkin Anang sudah mengetahui apa yang berlaku terhadap KD ketika ini. Ada pesanan untuknya?
Anang: Saya doakan KD bertemu jodoh yang sesuai dan baik. Jika dia ditemukan jodoh dengan orang kaya dan berpangkat, saya juga tidak kisah. Apa pun yang terjadi, hidup ini harus diteruskan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: