Monday, June 14, 2010

Jasa tak minta dibalas

KEINGINAN untuk melihat masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong yang sebelum ini jauh ketinggalan dalam arus pendidikan menjadi pendorong kuat kepada seorang wanita membuka kelas membaca, menulis dan mengira kepada etnik berkenaan.

TEKUN...Zaliah mencurahkan bakti mendidik kanak-kanak Orang Asli  suku kaum Che Wong sejak lebih sembilan tahun lalu.
TEKUN...Zaliah mencurahkan bakti mendidik kanak-kanak Orang Asli suku kaum Che Wong sejak lebih sembilan tahun lalu.
MINAT...asyik mengajar kanak-kanak terbabit menulis dan melukis.
MINAT...asyik mengajar kanak-kanak terbabit menulis dan melukis.
Insan berjiwa murni itu bukan saja sanggup mengajar secara percuma selama lima jam setiap hari, namun turut bermurah hati membekalkan alatan tulis seperti buku, pensel, pemadam dan pensel warna.


Selepas lebih sembilan tahun menabur bakti di penempatan Orang Asli Kampung Che Wong, Lanchang, Pahang, kini Zaliah Ali, 45, mampu berbangga apabila ramai muridnya mampu membaca, menulis dan mengira dengan baik.


Selain mengajar kanak-kanak dan remaja yang tidak berminat ke sekolah, muridnya turut terdiri daripada warga emas yang hanya ingin belajar mengira dan membaca.


Katanya, dia kini mempunyai 12 pelajar kanak-kanak dan remaja termasuk lima warga emas yang sebahagiannya sudah boleh membaca, mengira dan menulis dengan baik.


“Mengajar masyarakat Orang Asli memerlukan sifat sabar yang kuat. Mereka tidak boleh dimarah dengan kasar bagi mengelak mereka merajuk, seterusnya tidak datang ke kelas.


“Golongan berkenaan perlu sentiasa dipuji dan dilayan dengan baik. Dengan cara itu, mereka lebih bersemangat untuk terus setia belajar hingga berjaya.


“Kebolehan bercakap bahasa kaum berkenaan lebih memudahkan saya berkomunikasi terutama ketika mengajar,” katanya yang sebelum ini pernah mengikuti kursus mengajar.


Zaliah berkata, dia ingin memastikan masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong di Kuala Gandah itu tidak buta huruf sehingga menyebabkan mereka ditipu pihak tidak bertanggungjawab.


Menurutnya, selain mengajar menulis, membaca dan mengira, dia turut memberi tunjuk ajar dalam bidang agama terutama membabitkan membaca al-Quran, fardu ain dan bersuci.


Ramai masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong di Kuala Gandah memeluk Islam, namun mereka masih lagi cetek dalam bidang agama walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak berkaitan.“Beberapa murid saya sudah mampu mengaji dan solat dengan baik. Minat yang menebal di hati menjadi faktor utama mereka dapat mengingati setiap apa yang diajar.


“Saya bersyukur walaupun kurang mendapat sokongan dan bantuan, saya masih boleh meneruskan usaha memberi pendidikan kepada masyarakat Orang Asli ini di bawah pondok usang,” katanya.


Golongan muda masyarakat berkenaan mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang pelancongan dan kraftangan. Namun sekiranya mereka tidak mampu membaca dan mengira, tidak mustahil jika masyarakat terbabit serba ketinggalan.


Menurutnya, selain mengajar di kelas, dia turut melawat masyarakat peribumi itu yang tinggal di dalam kawasan hutan rizab Krau yang memerlukan perjalanan sehingga lima jam berjalan kaki.

Masyarakat Orang Asli Che Wong mempunyai sifat pemalu yang begitu menebal. Mereka sukar untuk didampingi sekiranya seseorang itu tidak mampu bercakap menggunakan bahasa mereka.


“Saya mengambil masa lebih enam tahun untuk mahir menggunakan bahasa mereka dengan bantuan pelajar dan rakan yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong.


“Setiap suku kaum masyarakat Orang Asli di negara ini mempunyai bahasa pertuturan yang berbeza,” katanya yang turut mengajar kelas al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Damar, Lanchang.


Ibu kepada enam anak itu berkata, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang bertugas sebagai guru sukarela ini antaranya dicemuh masyarakat yang menganggap usahanya lebih kepada untuk menunjuk.


Ada juga yang mendakwa dia terdedah dengan penyakit berjangkit malah ada yang mengatakan usahanya itu tidak akan memberi hasil seperti diharapkan. “Selain mengajar, saya juga membantu memasarkan pelbagai hasil kraftangan termasuk mengadakan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli suku kaum Che Wong seperti sewang kepada pelancong.


“Saya berharap aktiviti itu dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang berjumlah 350 orang,” katanya yang turut merawat kanak-kanak yang mengalami luka kecil.


Apa sekalipun cabaran ditempuh, Zaliah akan terus berusaha membela nasib mereka bagi memastikan mereka menikmati taraf hidup yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: