Friday, June 11, 2010

Jac tidak fikir dua kali

KEUPAYAAN vokal Jaclyn Victor dalam bidang nyanyian tidak perlu dipertikaikan. Banyak sudah yang diperkatakan mengenai Jac dan vokal hebatnya itu yang berjaya menjulang tuah kepada dirinya.

pix_middle



Sesudah mengorak langkah dengan berlakon filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad tidak lama dulu, Jac akan beraksi pula di pentas teater, membintangi filem baru dan muncul dengan album paduan tiga vokalis.

Dalam pertemuan dengan Rap, baru-baru ini, Jac yang anggun berbaju kebaya dan kurung berkongsi banyak cerita terbarunya itu.


Kata Jac, buat kali pertama kali dia akan berlakon dalam teater Cuci The Muzikal musim kedua dengan memegang watak Farah yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), Julai ini.

Menjejakkan kaki ke pentas teater yang dianggap terlalu baru dalam lembaran seninya membuatkan penyanyi lagu Gemilang dan Bertamu Di Kalbu ini begitu teruja kerana belum pernah berlakon teater sebelum ini.


"Inilah kali pertama saya berlakon teater dan ia cabaran besar bagi saya kerana ia lakonan spontan. Ia tentu sangat menguji kemampuan saya dan akan dapat membayangkan suasana baru yang akan dilalui.


"Walaupun belum berada di pentas latihan atau pementasan muzikal sebenar, saya tidak sabar bergandingan bersama barisan pelakon lain yang cukup berpengalaman.

"Saya akan berusaha melakukannya sebaik mungkin untuk mencapai tahap yang diharapkan pengarah, penonton dan peminat.

Watak asal Farah dalam teater itu dibawakan oleh Adibah Noor dan dia meyakinkan saya boleh menghayati watak dengan baik.

"Ketika mendapat tawaran itu, saya tidak berfikir dua kali untuk menerimanya kerana bagi saya pementasan teater sesuatu yang menarik apatah lagi dapat mempelbagaikan bakat dalam bidang seni," katanya.

Teater Cuci The Muzikal musim kedua diarahkan Datuk Zahim Albakri dan Harith Iskander dengan mengekalkan beberapa pelakon musim pertama. Antaranya Vanidah Imran, Afdlin Shauki, Awie, Hans Isaac dan Harith sendiri serta penampilan istimewa, Ahmad Nabil Ahmad.


Mengenai filem barunya pula, saksikan lakonan Jac dalam filem Tamil, Appalum arahan Afdlin yang akan ditayangkan selepas Aidilfitri ini. Filem itu diadaptasi daripada Papadom menjadi versi Tamil yang diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM-22).


"Saya seronok bekerja dengan Afdlin yang ada visi besar dalam bidang seni. Bukan saja dia pelakon yang hebat pada masa sama dia juga pengarah yang disegani ramai serta sudah banyak menang anugerah.

"Dalam Appalum, saya membawa watak Nalaini iaitu karakter sama dipegang Noorkhiriah dalam Papadom. Nalaini adalah isteri kepada Appalasamy. Filem ini turut menyisipkan budaya masyarakat India. Saya yakin filem ini mampu mengajak penonton datang ke pawagam.

"Sebenarnya saya gementar untuk menantikan tayangan filem ini. Appalum juga menyelitkan banyak unsur lucu dan mencuit hati dan watak dalam filem ini berdialog dalam bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris. Adakalanya saya tersenyum sendiri memikirkan beberapa peristiwa sepanjang penggambaran filem itu.


"Antara pengalaman pahit, saya terjatuh apabila kaki tersandung pada batu ketika penggambaran di Pulau Pinang. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua lutut dan kaki kanan luka sehingga meninggalkan parut," katanya.

Pada waktu terdekat juga, Jac yang memiliki aset vokal jenis 'Sfogato-Leggiore Soprano' dengan 3.2 Octaves, akan melancarkan single terbaru paduan suara bersama Ning Baizura dan Shila One In A Million (OIAM).


"Tiga penyanyi dengan vokal berbeza. Gabungan ini sangat menarik dan istimewa. Apabila satu lagu dinyanyikan lebih daripada satu penyanyi yang kami lakukan sekarang, kami bertiga tidak boleh 'range' suara yang sama kerana lagu akan menjadi bingit dan menyakitkan telinga yang mendengar.


"Sebagai permulaan, kami akan melancarkan satu single dulu sebelum album penuh lapan lagu berada dalam pasaran,"katanya.

Pemenang 'Suara Emas' Shanghai Music Festival, China pada 2005 itu menambah, dia juga akan mencuba bakat mencipta lagu menggunakan pianonya.

PROFIL
NAMA PENUH:Jaclyn A/P Joshua Thanaraj Victor
NAMA KOMERSIAL: Jac
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1978
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur, Malaysia
KERJAYA: Penyanyi dan Pelakon
ARTIS DIMINATI: Aerosmith, Van Halen, Whitesnake, Wolfgang Mozart, Franz Liszt
INSTRUMEN: Piano (Gred 6)
ALBUM:
-Dream (2002)
-Gemilang (2004)
-Inilah Jac (2006)
-Inilah Jac Edisi Terhad (2007)
-Jaclyn Victor III (2009)
LAGU POPULAR: Gemilang, Bertamu Di Kalbu, Cinta (duet dengan Misha Omar)
PENCAPAIAN:
Juara Malaysian Idol 2004, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-22 (Talentime), Anugerah Khas Juri Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009 (Talentime)
FILEM:
-Talentime (2009)
-Appalum (2010)
TEATER: Cuci The Musical 2 (Julai 2010)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: