Wednesday, June 16, 2010

Intan Ladyana pilih Sepanyol

BERMULA dari 11 Jun lalu hingga 11 Julai nanti, pastinya peminat bola sepak di seluruh dunia memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Justeru, sudah tentu kemenangan yang diharapkan daripada pasukan pilihan.

pix_middle
pix_topright
Berbicara mengenai demam bola sepak yang melanda kini, golongan artis juga tidak terkecuali. Bagi pelakon jelita, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya atau mesra dengan sapaan Intan Ladyana, pasukan pilihannya sudah tentulah Sepanyol.

Katanya, kekuatan Sepanyol adalah kemampuan menonjolkan permainan penuh bertenaga di tengah padang.

Malah, pasukan ini turut ditunjangi pemain yang hebat dan terkenal. Selain itu, Sepanyol juga mempunyai strategi tersendiri berhadapan lawan.

"Sekalipun kehangatan Bola Sepak Piala Dunia 2010 baru bermula, saya mengharapkan Sepanyol layak bertarung di final nanti. Bahkan, pesaing yang akan memberikan tentangan sengit itu sudah tentu pasukan Brazil. Saya melihat dua pasukan ini cukup kuat.

"Lagipun, sekarang ini bola sepak bukanlah permainan yang sesuai untuk lelaki saja tapi, ramai juga wanita di negara ini meminati bola dengan tertubuhnya pasukan futsal dan bola padang wanita. Di luar negara pula, sudah ada pasukan bola sepak wanita."Justeru, saya melihat penerimaan wanita terhadap bola sepak sangat meluas. Secara tidak langsung, tradisi sudah dipecahkan apabila sukan berkaitan bola hanya sesuai dan layak untuk lelaki. Jujurnya, sekarang ini wanita juga sehebat lelaki," katanya.


Terbabit mengacarakan Chopp!! di TV9 setiap Isnin hingga Ahad, Intan Ladyana berkata sebagai hos, dia bersama rakan setugas tidak ketinggalan menyampaikan maklumat mengenai pasukan bola sepak Piala Dunia 2010 untuk dikongsi bersama penonton.

Ujarnya, walaupun skrip sudah disiapkan, dia turut melayari Internet pada masa lapang untuk mendapatkan maklumat tambahan. Menurut gadis berusia 28 tahun ini, dia selesa berbuat demikian bukan saja demi penonton tetapi untuk dirinya sendiri.

Di sebalik karier pengacaraan dan bercerita mengenai bola sepak, Intan Ladyana ligat di lokasi penggambaran drama dan filem. Terbaru, dia dipilih membintangi filem Kembar Siang arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan terbitan MIG Productions Sdn Bhd.

Dalam filem itu, Intan Ladyana digandingkan bersama kekasihnya pelakon Kamal Adli selaku teraju utama.

Menurutnya, dia tiada masalah berlakon di sisi Kamal kerana sebelum ini pun mereka pernah bekerjasama dalam drama bersiri Bio-Nik.

"Saya dan Kamal, kami profesional dalam kerja kerana berlakon adalah karier. Bagaimanapun, saya tahu dengan gandingan ini kami sudah tentu tidak dapat mengelak daripada soalan membabitkan percintaan yang diajukan pihak media nanti.

"Apapun, gandingan kami ini bukan atas kehendak sendiri tetapi produser David Teo yang membuat keputusannya. Bagi saya dan Kamal, sebagai artis di bawah pengurusan MIG, kami menerima dan menghormati keputusan daripada produser.

"Saya dan Kamal, kami mengikat kontrak dengan MIG Productions selama lima tahun. Bagaimanapun, saya lebih dulu mengikat kontrak dengan MIG. Saya melihat karier lakonan saya diurus dengan baik.

"Sebelum ini saya pernah meninggalkan MIG untuk menguruskan sendiri karier ini. Ternyata, ia tidak mudah seperti yang disangka. Terlalu banyak cabaran perlu saya hadapi di samping berhadapan saingan dengan pelakon baru," katanya.

Akui anak jati Kuala Lumpur ini lagi, mengambil kira kepayahan yang diharungi dia berasakan wajar kembali semula bernaung dengan MIG demi karier lakonannya. Kata Intan Ladyana, dia sudah mengambil tindakan yang betul.

Ditanya apakah dia yang menjadi 'orang tengah' menarik Kamal supaya mengikat kontrak dengan MIG, Intan berkata teman lelakinya sekadar meminta pendapat. Selepas berbincang, segala keputusan terletak pada Kamal sendiri.

"Saya sekadar berkongsi pandangan dengannya dan tidak pernah mempengaruhi Kamal. Bagi saya, Kamal lebih tahu dan bijak membuat keputusan mengenai hala tuju karier seninya," kata Intan Ladyana memaklumkan pembabitannya dalam Chop!! atas bantuan pelakon Tam Suhaimi.

Katanya selain berlakon, dia sangat meminati bidang pengacaraan, Justeru, dia menyuarakan keinginannya untuk mengacara kepada Tam sekiranya ada kekosongan dalam Chopp!! Tidak disangka, rezeki masih ada.

PROFIL
NAMA PENUH: Intan Nurladyana Mohamad Yahaya
PANGGILAN KOMERSIAL: Intan Ladyana
TARIKH LAHIR: 2 Jun 1982
UMUR: 28 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
KERJAYA: Model iklan, pengacara dan pelakon
PROGRAM TV: Hello Minda, Adventure Race 2006 dan Chopp!!
IKLAN TV: Antaranya Oil of Olay, Dentyne, Kinder Bueno, Hotlink, Celcom, Acuvue, Mcdonald's, Toyota, Sunsilk, Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Toyota Hilux, Dentyne dan Deify Skincare
FILEM: Tipah Tertipu The Movie, I'm Not Single, Remp-It V3 dan Jangan Pandang Belakang, Adan Sempit The Movie dan Kembar Siang.
DRAMA: Puteri, Jelatang, Dari KL Ke Queenstown, Sutera Maya, Suria Kasandra, Bionik, Kasi, Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit The Series.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: