Saturday, June 19, 2010

Impian Penari Sabah Belajar 'Ngajat Lesung' Tercapai

Seorang penari mempelajari cara mengenakan pakaian tradisional masyarakat Iban.

KUCHING: Impian penari dari Sabah, Mohd Rezuan Daud, 29, untuk mempelajari tarian traditional kaum Iban Sarawak akhirnya tercapai apabila dia berpeluang mengikuti satu bengkel tarian etnik Sarawak di sini hari ini.

Berasal dari Putatan, Sabah, Mohd Rezuan yang mula bergiat menari sejak tujuh tahun dahulu dengan menyertai Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, mempelajari teknik tarian kaum Iban itu pada Bengkel Tarian Etnik Sarawak sempena Program Merakyatkan Seni Jalinan Muhibbah Borneo di Kompleks Pelancongan Sarawak di sini.

"Saya selalu melihat tarian Ngajat Iban dalam televisyen sahaja. Impian untuk belajar tarian traditional Sarawak yang unik ini sudah lama terpendam dalam hati saya.

"Saya berasa sangat gembira hari ini kerana akhirnya impian saya tercapai kerana berpeluang untuk belajar asas gerak tangan dan kaki serta posisi badan tarian Ngajat Lesung dari jurulatih JKKN Sarawak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi penari dari JKKN Sabah, Marliza Matsum, 24, dari Kota Kinabalu, menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang mengikuti bengkel itu dan mempelajari Ngajat Lesung.

LANGKAH TARI... Sebahagian daripada 20 penari dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah datang ke Sarawak untuk mempelajari seni gerak tari 'Ngajat Lesong' sempena program Pusat Seni Setempat dan Merakyatkan Seni 'Jalinan Muhibbah Borneo' di Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching, hari ini.

"Kunjungan ke Bumi Kenyalang kali ini bukan sahaja memberi peluang kepada saya untuk mempelajari gerak tari tarian tradisional tetapi cara pemakaian baju tradisional wanita Iban dikenali sebagai 'ngepan indu' yang selama ini saya hanya belajar dari buku," katanya.

Mohd Rezuan dan Marliza adalah antara 20 penari dari kumpulan kesenian JKKN Sabah yang tiba semalam sempena Program Merakyatkan Seni Jalinan Muhibbah Borneo.

Selain menyertai Bengkel Tarian Etnik Sarawak, mereka juga melawat Rumah Panjang Annah Rais dekat sini dan menyertai program kemasyarakatan sempena Gawai Dayak di Kampung Benuk, Pedawan.

Kumpulan dari Sabah itu akan membuat persembahan kebudayaan khas malam esok sempena Pusat Seni Setempat dan Program Merakyatkan Seni Jalinan Muhibbah Borneo di Godown Amphitheater di Tebingan Kuching, di mana kebudayaan dan kesenian kedua-dua negeri akan dipersembahkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: