Thursday, June 3, 2010

Ikan 'lemas' kerana lumpur


BANGKAI ikan-ikan terdampar di pesisir pantai Kampung Sungai Miang, Pekan ini sudah kelihatan setiap hari sejak dua minggu lalu.


PEKAN - Fenomena ribuan ikan mati dan terdampar di sepanjang 10 kilometer kawasan pesisiran pantai beberapa buah kampung di sini sejak dua minggu lalu menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk.

Mereka bimbang melihat pelbagai spesies ikan seperti gelama, bawal dan senangin mati dalam jumlah yang banyak.

Antara kawasan pantai yang terlibat ialah Kampung Sungai Miang, Pantai Sepat hingga ke Merchong.

Seorang nelayan, Karim Abdullah, 77, berkata, dia dan beberapa rakannya terkejut dengan peristiwa itu kerana kejadian tersebut berlaku untuk satu tempoh yang agak panjang.

"Sepanjang saya menangkap ikan sejak berusia sembilan tahun, ini kali pertama saya tengok banyak ikan timbul sebelum mati di pantai selama dua minggu.

"Sebelum ini memang ada berlaku tetapi paling lama pun beberapa hari saja,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Karim, mereka cuba mencari puncanya tetap tidak berjaya.

"Jika punca kematian ikan disebabkan tumpahan minyak, tiada pula tanda-tanda pada badan ikan diselaputi minyak,'' ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Ismail Hassan, 52, bimbang kerana kejadian itu telah menjejaskan sumber rezekinya.

"Saya dan nelayan lain sukar untuk menangkap gelama kerana beribu ikan itu telah mati.

"Kalau nak ikutkan hati mahu saja kutip ikan-ikan gelama yang mati itu untuk dibuat ikan masin tapi timbul pula rasa takut ia mungkin beracun,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: