![]() |
| KRU penerbitan teater Muzikal tun mahathir tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan dengan dr. siti hasmah dalam pertemuan itu. berdiri tiga dari kanan ialah rosminah mohd. tahir. |
SELAMA ini Erra Fazira hanya mampu memasang angan-angan untuk duduk semeja dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Biar sebelum ini pernah beberapa kali bertemu dengan isteri bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak pernah ada kesempatan untuk dia berkongsi kisah kehidupan peribadi wanita kebanggaan negara itu.
Berbeza dengan apa yang pernah dibaca dalam media massa mengenai sisi lain kehidupan Dr. Siti Hasmah, Erra mahu mendengar sendiri dari mulut tokoh yang sangat-sangat dihormatinya itu mengenai pengalaman hidupnya.
Barangkali sudah tertulis rezekinya untuk bersemuka dengan Dr. Siti Hasmah. Apa lagi dengan tanggungjawab baru yang dipikulnya ‘menjadi Dr. Siti Hasmah’ untuk pementasan teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) membolehkan Erra berkenalan dengan lebih dekat tokoh wanita itu.
Lalu, apabila Erra dipelawa untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr. Siti Hasmah, Erra tidak mampu untuk mengatakan tidak.
Kunjungan Erra bersama rombongan produksi MTM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani tempoh hari ialah untuk membentangkan kepada Dr. Siti Hasmah mengenai idea penerbitan muzikal yang mengisahkan perjalanan hidup suaminya pada pementasan yang akan diadakan pada September depan di IB.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Penerbit Eksekutif MTM, Siti Rohayah Attan, Pengarah MTM, Rosminah Mohd. Tahir dan penulis skrip naskhah berkenaan, Ismail Kassan.
Sebelum ini, anggota rombongan yang sama sudah bertemu Dr. Mahathir sebagai memohon restu dan persetujuannya bagi membolehkan pementasan itu dilakukan.
Berbalik kepada Erra, kegembiraan bersemuka dengan Dr. Siti Hasmah sukar disembunyikan.
Biarpun sekadar dua jam, namun apa yang dikongsi dengan Dr. Siti Hasmah menjadikan ilmu dan bekalan yang amat penting buat dia dalam usaha menterjemahkan karakter sebagai wanita penting di sebalik kejayaan suaminya pada pementasan MTM kelak.
“Pertemuan dengan Dr. Siti Hasmah memberikan saya gambaran untuk ‘menghidupkan’ karakter beliau di pentas IB nanti. Memanglah dua jam tidak cukup untuk mengenali beliau dengan mendalam, tetapi kesudian beliau menerima kehadiran saya dan teman-teman lain sangat-sangat saya hormati,” kata Erra kepada Mega merumuskan pertemuannya dengan Dr. Siti Hasmah baru-baru ini.
Memori indah
Pada pertemuan itu, Erra banyak bertanya mengenai keperibadian Dr. Siti Hasmah khususnya ketika zaman tokoh berkenaan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura, detik pertemuan Dr. Siti Hasmah dan Dr. Mahathir serta latar belakang keluarganya.
Dan sebagai pendokong watak utama juga, Erra tidak lupa bertanya Dr. Siti Hasmah mengenai gaya dan personalitinya ketika zaman muda, minat serta hal-hal yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab beliau semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
Bagi pelakon dan penyanyi terkenal itu, pertemuan singkat dengan Dr. Siti Hasmah tempoh hari benar-benar akan menjadi memori yang cukup indah dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Masakan tidak, perbualan yang berlangsung dalam suasana yang cukup santai turut memberi peluang kepadanya mengenali Dr. Siti Hasmah dari sisi yang lain, berbeza dengan apa yang sering Erra lihat dan baca di media massa.
“Beliau seorang yang sangat humor, mudah didekati dan sangat penyayang. Saya akan berusaha memikul tanggungjawab ini dengan sebaik yang mungkin berkat restu dan sokongan yang diberikan oleh beliau (Dr. Siti Hasmah),” kata Erra lagi.
Paling dikagumi Erra mengenai Dr. Siti Hasmah juga ialah betapa tokoh berkenaan merupakan seorang individu yang mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi ketika melalui zaman suaminya menjadi seorang pemimpin dunia yang kehidupan sehariannya harus dikongsi dengan banyak pihak.
Dr. Siti Hasmah kata Erra, melalui zaman kehidupan yang sungguh menarik - hidupnya penuh pelbagai warna dan pengalaman hidup wanita itu mempunyai nilai yang sangat tinggi.
“Saya kagum dengan Dr. Siti Hasmah,” ringkas kata Erra menjelaskan pandangan peribadinya mengenai isteri negarawan terulung itu.
Dan kerana itu, Erra tidak mampu menyembunyikan perasaan gentar untuk memikul tugas yang disifatkannya sebagai amat berat namun karakter yang sudah lama didambakannya.
“Saya bersyukur kerana menjadi pilihan produksi untuk memegang watak sebagai Dr. Siti Hasmah. Pada masa yang sama saya takut andai saya tidak dapat menterjemahkan dengan sepatutnya karakter beliau,” luah bintang berusia 36 tahun itu lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: