
SUASANA di Petrosains Suria KLCC pada hari itu cukup ceria dengan hilai tawa kanak-kanak yang tidak sabar-sabar ingin meneroka tarikan terbaru dalam program yang dianjurkan oleh gedung akademik itu sempena sesi cuti sekolah bulan Jun ini.
Kepada sesiapa mengunjungi lokasi pameran ilmiah popular di aras paling atas kompleks beli-belah popular itu sepanjang minggu ini, anda pasti terserempak dengan kumpulan kanak-kanak yang asyik dan seronok melakukan aktiviti interaktif.
Ada di kalangan mereka yang bertanya itu dan ini kepada ibu bapa atau guru yang mengiringi mereka. Bahkan ada juga yang mencuba eksperimen fizikal yang disediakan, sementara yang lainnya teruja berceloteh tentang banyak perkara. Pastinya, semua reaksi spontan itu terarah pada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan di Petrosains.
Jelas, mereka yang sudah pun menjejakkan kaki ke Petrosains cukup bertuah! Mengapa?
Kosmo! yang turut menyertai keseronokan di situ mendekati seorang guru yang memberi arahan kepada pelajar-pelajarnya yang melangkah masuk ke dalam atrium pameran dengan tertib.
Jika kanak-kanak lain akan meluru ke ruang pameran dan teruja untuk meneroka pandangan ke segenap sudut, kumpulan pelajar cacat penglihatan itu tentunya menghargai pameran di Petrosains dengan cara tersendiri.
Kesungguhan guru-guru tersebut membawa pelajar cacat penglihatan itu harus dipuji. Antara matlamat kumpulan pendidik tersebut, keseronokan dan ilmu pengetahuan perlu sama-sama dirasai oleh anak didik mereka.
Pemikiran kritis

"Sepanjang lawatan pelajar-pelajar ini ke Petrosains, mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang diketuai oleh guru masing-masing. Guru-guru tersebut akan menerangkan kepada mereka tentang setiap perkara yang ada di dalam Petrosains.
"Kami akan menyuruh pelajar-pelajar ini menyentuh dan merasai objek-objek yang diterangkan agar mereka boleh mengenalinya dengan lebih mendalam," kata salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Johor Bahru, Wan Mohamad Danial Wan Mukhtar.
Program cuti sekolah yang menggunakan tema Toys sempena pelancaran filem Toy Story 3 itu berlangsung dari 7 hingga 27 Jun ini.
"Di Petrosains, kami menyediakan tema program yang berlainan setiap musim cuti sekolah. Sempena cuti sekolah kali ini, kami bukan sahaja mengadakan program mengikut tema Toy tetapi mengubah beberapa program yang sedia ada menjadi lebih menarik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim.
Jelas Nasariah, tujuan utama program-program baru yang dilaksanakan di Petrosains supaya dapat memupuk pemikiran kritis dan kreatif melalui penglibatan kanak-kanak secara langsung di dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.
"Saya berharap pengunjung yang hadir akan mendapat inspirasi dan pengetahuan mengenai sumber tenaga, persekitaran serta isu yang berkaitan dengan sains. Melalui persembahan sains atau persembahan mini, ia dapat membantu pengunjung memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam," katanya.
Menangi hadiah
![]() |
| PARA pelajar tidak melepaskan peluang menikmati pengalaman ribut taufan di dalam tiub merah. |
Jelas Tengku Nasariah, pengunjung juga boleh melibatkan diri dalam pelbagai eksperimentasi dan demonstrasi istimewa. Kali ini, mereka dapat meneroka aktiviti-aktiviti melalui persembahan mini seperti Jumping Frog, Play It Right dan Spooky Fan yang disediakan. Pengunjung juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti Cartesian Diver, Magic Funnel dan Balancing Art.
Sebagai usaha menyemai ilham inovasi di kalangan kanak-kanak, bengkel Toy Makeover tentu menarik perhatian. Di situ, kanak-kanak boleh membawa alat-alat permainan lama mereka untuk diubah menjadi permainan baru dan lebih menarik. Selain itu, terdapat juga bengkel Toy Therapy untuk kanak-kanak meneroka dan berinteraksi dengan alat-alat permainan yang disediakan di Petrosains.
"Lebih menarik, kali ini kami juga bekerjasama dengan syarikat MATTEL South East Asia Pte Ltd. dan Susu Marigold UHT untuk memberi pelbagai permainan dan hadiah menarik kepada kanak-kanak bertuah.
"Sepanjang minggu cuti sekolah bulan Jun, kanak-kanak berpeluang memenangi hadiah percuma Toy Story 3 seperti pelekat, kad-kad lut sinar, baucar diskaun, minuman susu dan lain-lain lagi," katanya.
Tengku Nasariah juga mengajak ibu bapa menyertai anak-anak mereka dalam Toy Story Three Links Play Set Challenge pada hujung minggu. Melalui pelbagai cabaran yang disediakan, setiap keluarga berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada MATTEL.
Seorang pelajar cacat penglihatan SKPK Princess Elizabeth, Mohamad Zainuddin Shamsuddin, 13, gembira berada di Petrosains.
"Guru saya akan menerangkan tentang sesuatu objek. Saya akan membayangkannya dan kemudian cikgu akan membimbing saya untuk menyentuhnya.
"Saya gembira kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Petrosains. Banyak ilmu yang saya tahu mengenai alam dan sains. Saya juga dapat merasai objek-objek permainan Toy Story," katanya.
Sementara itu, menurut seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sri Petaling 1, Kuala Lumpur, Norhayati Hussin, pihak sekolahnya menganjurkan lawatan ke Petrosains setiap tahun.
"Kami mahu pelajar-pelajar mendapat pendedahan baru mengenai dunia sains setiap kali mereka menjejakkan kaki ke sini. Kami juga difahamkan, Petrosains sentiasa melaksanakan idea-idea baru yang memberi banyak manfaat kepada pelajar khususnya," katanya yang membawa 43 orang pelajar-pelajar darjah lima dan enam serta empat orang guru ke Petrosains.

Bagi Stephanie Pik-Shen Chua, 11, peluang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Petrosains membuatnya teruja.
"Saya dapat belajar pelbagai perkara yang saya tidak pernah tahu selama ini. Program-program yang disediakan bukan sahaja sekadar objek malah ia disertakan bunyi dan pergerakan," kata pelajar SK Bandar Baru Sri Petaling 1 itu.
Menurut seorang lagi pelajar SK Bandar Baru Sri Petaling 1, Syafiq Firdaus Alang Ahmad, 11, walaupun kali kedua menjejakkan kaki ke Petrosains dia mendapati pelbagai pembaharuan permainan mahupun aktiviti yang disediakan.
"Paling menarik saya dapat belajar mengenai kelajuan dan kecekapan dengan mencuba beberapa permainan Formula One," katanya yang mengakui meminati subjek sains.
"Program-program yang disediakan sempena cuti sekolah bukan sekadar memberi keseronokan tetapi lebih kepada meningkatkan kemahiran sains melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan kanak-kanak. Kami mahukan pengunjung berfikir luar dari kotak fikiran dan melahirkan idea-idea kreatif melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan," kata Nasariah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: