|
|
TIZ tidak peduli kalau orang mengatakan Tiz berada diambang kejatuhan populariti. Biarlah orang bercakap apa sahaja. Tiz tidak kisah tetapi percayalah, dalam kamus hidup Tiz tidak pernah wujud istilah popular. Apatah lagi untuk berbangga dengan kejayaan ‘ciput’ yang diraih hari ini,’’ tutur awal Tiz Zaqyah memulakan bicara dalam temu bual itu.
Reaksi pertama heroin drama rantaian paling berpengaruh, Nur Kasih mengundang seribu satu persoalan. Adakah dia dalam keadaan kecewa, hampa atau kesal dengan kontroversi terkini mengaitkan namanya itu?
Sesungguhnya, Tiz tidak kisah dan punya formula sendiri untuk menghapuskan tanggapan buruk tentang dirinya itu.
Sebab itu, Tiz tidak ambil endah sekiranya orang menyifatkan dia berada dihujung tembok kejatuhan kariernya sedangkan hakikat sebenar, dia baru hendak memulakan langkah memasuki dunia hiburan tanah air.
Pelakon berbintang Scorpio menyedari hanya satu drama yang dibintangi, namanya meniti di bibir ramai pada tahun lalu, ketika drama lain seperti Korban Kasih Marisa dan Spa Qistina, kurang menyerlahkan bakat lakonannya.
“Jadi, tidak wajar untuk meletakkan diri saya sebagai artis yang sudah cukup popular,” dakwanya.
Lantas, Tiz mengambil pendekatan mudah. Dia terima kenyataan sekiranya satu hari nanti, dia terpaksa bersara dari dunia lakonan kerana latar belakang dirinya yang dikatakan liar itu.
‘‘Beginilah, orang tidak boleh menghukum Tiz disebabkan cerita-cerita Tiz yang tidak tahu asal usul itu. Apa bukti mereka kata benda-benda tak baik itu? Terus terang, niat asal Tiz ke masuk ke dunia hiburan ini untuk menunjukkan bakat lakonan Tiz. Itu sahaja.
‘‘Janganlah sebab Tiz cepat dikenali, ada pihak yang kurang senang dan menyebar cerita yang bukan-bukan. Sebab Tiz tidak terdaya untuk menghalang orang daripada bercakap perkara yang buruk tentang Tiz. Sememangnya ia berada di luar bidang kuasa Tiz sendiri,’’ ujarnya.
Banyak sebab yang mendorong masyarakat memberi perhatian kepada cerita berkaitan Tiz. Semuanya bertitik tolak dari penyebaran gambarnya ketika bersosial di sebuah kelab malam bersama rakan-rakan. Kemudian berantai dengan gosip mengatakan Tiz merokok dan minum arak sebelum ini.
Semuanya Tiz nafikan sehingga ada pihak yang jelak dengan sikap ‘tunjuk baik’ Tiz setiap kali dikaitkan dengan kontroversi. Ada juga yang mengatakan dia sebenarnya seorang yang hipokrit dan berselindung di sebalik perwatakan baik dan suci itu.
‘‘Tiz bukan manusia maksum dan tidak terlepas dari melakukan sebarang kesalahan. Sudah pasti ada disana sini kekurangannya. Apa yang orang luar nampak dalam Nur Kasih itu bukan Tiz yang sebenar. Perkara ini yang Tiz tekankan setiap hari kepada semua.
‘‘Kalau hendak diikutkan, sampai bila Tiz nak mengikut telunjuk orang untuk menentukan arah kehidupan Tiz sendiri. Tiz pun ada kehidupan dan impian sendiri. Berilah sedikit ruang kepada Tiz,’’ pinta gadis berkulit putih ini.
Tiz memberitahu yang dia agak runsing pada mula apabila orang bercerita tentang dirinya dan mengaitkan kariernya akan tenggelam selepas kontroversi itu tersebar.
Getus Tiz, tidak terfikirkah di minda sang penyebar cerita di luar sana kesan selepas penyebaran fitnah itu? Apa motif mengadakan gosip sebegitu? Kalau betul lainlah cerita tetapi hikayat rekaan itu dusta semata-mata.
Pelakon ketinggian 5 kaki 3 inci ini juga tidak menolak kemungkinan apa sahaja kontroversi yang melanda dicetuskan oleh pihak yang mencemburui kejayaannya.
Berkemungkinan pakej berharga yang ada pada dirinya dinilai tinggi oleh sesetengah pihak yang menghargai bakat semulajadinya itu. Bagaimanapun, sekali lagi, hati Tiz berdesis, tak mengapalah. Hati manusia memang sukar untuk diduga.
Teraniaya
Paling terbaru, kontroversi melibatkan anak jati Kuala Lumpur ini yang dikatakan mengganggu kekasih dua aktres tempatan iaitu Almy Nadia dan Fasha Sandha. Satu negara sudah tahu tahu tentang cerita itu dan menimbulkan rasa ingin tahu.
Peminat lagu genre jazz ini dikatakan telah merentakkan gendang pertelingkahan dengan mengajak teman lelaki Fasha yang mesra dipanggil Jejai, berjumpa kira-kira pukul 4 pagi pada pertengahan Mac lalu. Lelaki itu sendiri sebelum ini mengaku kepada media bahawa Tizz memang ada menghubunginya dan ini telah menimbulkan kemarahan Fasha memandangkan dia pernah menjadi kawan baik kepada Tiz Zaqyah.
Bercakap tentang cerita yang semakin hangat dibincangkan peminat itu, Tiz memberitahu dia sebenarnya terlalu ‘letih’ hendak bercerita tentang perkara ini.
“Kalau cakap nanti orang salah ertikan dan ia akan memburukkan lagi keadaan, lambat laun orang akan tahu juga siapa yang benar, siapa yang salah.
“Tidak perlulah kalau dipanjangkan lagi kerana sekali kenyataan dari mulut Tiz keluar, pasti ada pihak yang tidah berpuas hati dan berterusan bercerita, salahkan Tiz,’’ katanya sambil menarik nafas panjang.
Katanya, jika terus dia membuka mulut untuk bercerita hal berkenaan, risau andai ia terus berlarutan.
Ketika diajukan apakah memang benar di mudah jatuh cinta dengan lelaki muda seperti kekasih Fasha Sanda itu, ujar Tiz, dia tidak pernah meletakkan sebarang cita-cita untuk mendampingi orang kaya sebagai jalan pintas untuk cepat senang.
“Tidak perlu mengunakan cara kotor untuk tujuan itu. Tiz mampu meraih apa sahaja material atas kerja keras dengan menjual bakat diri. Tidak perlu itu semua hanya untuk mencari kekayaan,” tegasnya berprinsip.
Ditanya tentang dakwaan sesetengah pihak menilai perangainya hampir menyerupai Fasha yang kerap memegang watak baik di kaca televisyen tetapi berbeza pada realiti, Tiz mengucap panjang.
Sopan bicara diatur, menunjukkan kematangan peribadi.
‘‘Jangan anggap Tiz macam itu. Tiz bukan Fasha Sandha kedua. Kami tidak sama dan amat berbeza. Tetapi maaflah, Tiz tidak mahu komen lebih-lebih mengenai dia. Apa yang boleh Tiz katakan bahawa segala dugaan yang diterima pada hari ini mematangkan untuk jadi lebih bijak dalam setiap langkah dan memikirkan kesan sampingan atas apa yang Tiz lakukan sebelum ini,” katanya sekaligus memberitahu tidak berniat untuk ‘mencaras’ kebahagiaan orang lain.
Diterjah dengan persoalan berkemungkinan status dirinya yang solo dan tidak berteman itu membuka banyak ruang untuk pihak lain membuat serangan ke atas peribadinya, pantas Tiz mengiyakan.
‘‘Tiz bukan jenis yang suka bercerita tentang hal peribadi kepada semua orang. Cukuplah dikongsi dengan ibu bapa dan teman rapat. Tiz selesa sebegini. Siapa kekasih Tiz juga tidak perlu dibincangkan. Biarlah ia disimpan sendiri,’’ katanya yang ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Nur Kasih.
Jadi, kepada lelaki yang menyimpan angan-angan memburu cinta wanita kecil molek ini, lebih elok impian itu disimpan buat sementara waktu.
Sama ada Jejai, Fizz Fairuz atau sesiapa saja lelaki kacak, ternama dan kaya muncul di depan mata, ‘terima kasih’ sajalah, Tiz mahu serius berlakon saja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: