TANGGAL 4 Ogos 1975, pagi yang tenang dan mendamaikan pada awalnya di lantai sembilan, bangunan AIA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, direnggut sekumpulan pengganas menamakan diri, Japanese Red Army. Tanpa diundang, mereka meluru masuk ke premis berkenaan sambil melakukan huru-hara.
Kelibat lima individu bertopeng di pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dan Sweden itu bertujuan memaksa kerajaan Jepun dan Sweden memenuhi tuntutan segera membebaskan tujuh rakan mereka yang ditahan di kedua-dua negara.
Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Selain bersikap bengis, 'hidangan' berupa senjata api dan bahan letupan menjadi sarapan istimewa orang awam yang kebetulan lalu di situ.
Akibatnya, seramai 53 orang termasuk pegawai Kedutaan Amerika Syarikat dan Sweden menjadi tebusan sebelum dibebaskan 79 jam kemudian dalam insiden penuh suspen yang mengejutkan seluruh dunia.
Bagi mengingati kembali sejarah hitam itu, Astro dalam usaha menjenamakan program Suatu Ketika... mengambil langkah menyiarkan kembali detik-detik mendebarkan itu melalui dokumentari dan drama bersiri.
Selepas himpunan peristiwa bersejarah seperti Rosli Dhoby, Si Tanggang, Mahsuri, Mokhtar Dahari, Tragedi Pos Dipang, Laskar Senoi, Puteri Gunung Ledang, Thomas Cup, Botak Chin dan Sybil Kathigesu bertandang di kaca televisyen, kini tiba giliran Suatu Ketika... 1975: Serangan Tentera Merah dan drama, Suatu Ketika... Soldadu Merah sebagai penyebar maklumat yang tersimpan lebih tiga dekad lalu.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, dokumentari berbajet RM100,000 itu merupakan karya yang digarap begitu teliti oleh pihak produksi bagi mendapatkan fakta tepat berhubung penawanan bangunan AIA.
"Kami mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan kajian termasuk menemui semula individu-individu yang berdepan pengalaman menakutkan ini.
"Tambah istimewa, rancangan ini mewawancara dua individu yang menjadi tebusan dalam peristiwa tersebut iaitu Profesor Dr. Mansor Jusoh dan seorang wanita warga Sweden, Ula Odqvist.
"Dokumentari selama sejam ini menjadi lebih istimewa kerana kami menyediakan sedutan babak sebenar kejadian.
"Ia dianggap menambahkan nilai terhadap Suatu Ketika... 1975: Serangan Tentera Merah kerana ia jarang dimuat dalam penerbitan program berkonsep sama sebelum ini.
"Kami yakin dokumentari ini dapat menarik perhatian umum khususnya generasi baru sekali gus mampu dijadikan bahan rujukan apabila membabitkan tragedi bersejarah," katanya ketika ditemui pada sidang media dokumentari dan drama bersiri tersebut di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung Nizam, Suatu Ketika... 1975: Serangan Tentera Merah dimulakan dengan mengimbau kembali kejadian serangan ke atas bangunan AIA yang berlaku tepat pukul 10.45 pagi.
"Lima anggota Japanese Red Army menahan lebih 50 orang tebusan di premis yang menempatkan beberapa pejabat kedutaan dengan lebih 1,000 pekerja itu.
Segala kejadian yang berlaku hingga hari terakhir tebusan dibebaskan akan dipapar secara teliti dalam program dokumentari ini.
"Untuk pertama kalinya, persoalan apa sebenarnya berlaku sebelum serangan ke atas bangunan ini turut dibincangkan.
"Penonton juga akan mendapat gambaran sebenar tentang proses perundingan yang membawa kepada pembebasan semua tebusan," ujar Nizam berhubung keunikan Suatu Ketika... 1975: Serangan Tentera Merah.
Malah, gambaran lebih tepat tentang proses penyeludupan senjata api dan bahan letupan dibawa masuk ke negara ini dikongsi dengan khalayak.
Selain dokumentari, Astro tidak ketinggalan memberi penjelasan lebih terperinci mengenai peristiwa hitam itu dalam bentuk drama lapan episod, Suatu Ketika... Soldadu Merah.
Menariknya, audiens berkesempatan mendalami atau merasai sendiri kejadian itu melalui lakonan mantap Datuk Jalaludin Hassan sebagai Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Shahabuddin Ahmad yang tenang menyelesaikan setiap masalah.
Dalam pada itu, karakter ketua pengganas licik, Miguel Sanches diteraju oleh Buzen; warganegara Jepun yang tidak perikemanusiaan, Keisuke Murata (Zack Taipan) dan pengganas yang dikehendaki oleh agensi antarabangsa, Naomi Adachi (Corren).
Dokumentari Suatu Ketika... 1975: Serangan Tentera Merah bersiaran pada hari Ahad di saluran Prima (105), pukul 4.30 petang manakala drama Suatu Ketika... Soldadu Merah (Citra; 131) ditayangkan pada hari yang sama pukul 9 malam. Kedua-dua program tersebut muncul di kaca televisyen mulai 4 Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: