LEBIH empat bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi Diddy Hirdi (gambar) menyatakan hidupnya kini lebih bermakna disamping isteri tersayang.
Diddy yang diijab kabul pada 6 Februari lalu dengan pasangaannya Allen Nor Azah Musa setelah empat tahun bertunang mengakui kehidupannya lebih terurus berbanding dahulu.
"Biarpun kami sudah kawan lebih 10 tahun tapi ikatan yang sah ini benar-benar membuatkan hidup saya kini lebih terisi. Kami sedang menjalani kehidupan rumah tangga yang lama kami rancangkan.
"Rutin harian saya juga berbeza berbanding ketika bujang dahulu. Selepas berkahwin saya banyak menghabiskan masa di rumah berbanding berada di luar.
"Dari segi urusan pakaian, makan, perbelanjaan kini lebih terurus dan teratur," jelas anak jati Johor ini.
Menurutnya tembok kepercayaan yang dibina selama ini memudahkan hubungan yang mereka jalinkan.
"Dari dulu kami sudah tanamkan sifat saling mempercayai di antara satu sama lain. Tidak ada rasa syak dan wasangka. Saya memahaminya dan tidak menganggu waktu dia sedang bekerja begitu juga sebaliknya.
"Bagaimanapun saya juga harus jaga kepercayaan yang dia berikan selama ini dengan menghindari gosip-gosip liar yang boleh merosakkan kepercayaan kami," katanya kepada mstar online ketika ditemui di Menara Star baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang cahaya mata, Diddy memberitahu setakat ini dia masih belum diberi rezeki oleh Allah dan menyerahkan urusan tersebut kepada Yang Maha Esa.
"Bohonglah kalau tidak merancang tentang anak namun buat masa ini saya rasa masih awal dan biar Allah yang menantukan semuanya. Jika ada rezeki itu saya terima," ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem Ustazah Dari UK.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: