AKTRES berbakat besar, Liyana Jasmay masih berkawan dengan penyanyi, Aizat dan menolak desas-desus mengatakan mereka sudah putus cinta dan langsung tidak berkomunikasi lagi.
"Kami masih berkawan sejak dua tahun dulu.. Ia cuma gosip. Tidak ada perkara buruk berlaku antara kami berdua. Kami masih adalah kawan baik. Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.
"Kami bukan lagi kanak-kanak. Kami perlu pentingkan kerjaya masing-masing. Oleh itu, saya tidak faham bagaimana gosip itu timbul," katanya kepada mStar Online.
Akhbar sebelum ini melaporkan hubungan mereka berdua terputus ekoran kehadiran vokalis band Ungu, Pasha.
Liyana berkata dia berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk Pasha (Ungu) yang merupakan kawan baiknya.
Katanya, dia mengenali penyanyi dari seberang itu melalui satu persembahan.
"Kami kawan sahaja. Mungkin dia dari Indonesia, jadi fokus terarah kepadanya. Dia (Pasha) ialah seorang yang baik," jelas Aktres Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22.
Justeru, Liyana menegaskan, dakwaan bahawa Aizat cemburu ekoran saya berkawan dengannya tidak benar sama sekali.
Kedua-dua adalah kawan Liyana. Bagaimanapun, antara Pasha dan Aizat, Liyana yang membintangi filem Tolong Awekku Anak Pontianak mengenali Aizat lebih lama iaitu dua tahun lalu.
Mengenai perkembangan terkininya, Liyana baru habis penggambaran filem Tolong Awekku Anak Pontianak arahan James Lee dan sedang menanti penggambaran untuk dua filem.
Ia akan berlarutan sehingga Hari Raya sebelum dia memulakan penggambaran Papadom 2.
Dalam bidang nyanyian pula, Liyana ingin berkolaborasi dengan penyanyi dari Thailand, Indonesia, dan Filipina untuk menghasilkan lagu bergenre pop rock. Malah dia ingin menghasilkan album kedua pada awal tahun depan.
Disoal sama ada dia akan berduet atau bekerjasama dengan Pasha mahupun Aizat, katanya: "Saya tidak tahu lagi. Tapi saya ingin mevariasikan kerjasama dengan pelbagai artis."
Mengenai dakwaan segelintir bahawa suaranya masih belum mencapai tahap seorang penyanyi, Liyana menyifatkan itu adalah persepsi setiap individu.
"Saya tidak boleh menahan orang lain daripada mengkritik saya. Ia sepatutnya menjadi perangsang kepada saya," ujarnya yang akan tamat pengajian dalam bidang Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College pada tahun depan.
Dia masih dalam perancangan untuk mengikuti kursus jangka pendek serta persembahan muzikal selepas itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: