PETALING JAYA: Pelakon komedi terkenal, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek (gambar) bersama lima rakannya yang direman kerana disyaki memiliki 40 gram ganja akan dibebaskan dengan ikat jamin polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mStar Online berkata, siasatan terhadap kes tersebut akan tetap diteruskan.
Sehubungan itu, katanya, polis akan membuat keputusan kemudian sama ada akan mendakwa Saiful Apek dan rakan-rakannya ataupun tidak.
“Pihak polis akan membuat keputusan selepas siasatan selesai sama ada mahu mendakwa mereka atau tidak," katanya.
Semalam, tempoh reman Saiful Apek bersama lima rakannya selama empat hari dilanjutkan sehari lagi sehingga hari ini.
Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan tempoh reman terhadap semua suspek dilanjutkan.
Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab pemilikan dadah manakala Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab penggunaan dadah.
Pada 12 Jun lalu, Saiful dan lima rakannya yang lain ditahan polis dalam satu serbuan di apartmennya di Jalan PJS7 Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 10 malam ketika sedang menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia di antara Argentina dan Nigeria.
Apek terkenal dengan lakonannya dalam filem seperti Senario Lagi (2000), Senario The Movie (1999), Nana Tanjung 2 (2007) dan Cicak Man (2006).
Dia juga seringkali muncul bersama kumpulan lawak Senario dalam siri komedi Senario di TV3.
Sementara itu Mohd Fadly Hashim yang merupakan peguam kepada Saiful Apek ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berkata polis sepatutunya membuat pendakwaan hari ini.
Bagaimanapun katanya, pihak polis mendapat arahan untuk melepaskan mereka dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dijalankan.
"Mungkin arahan itu daripada pihak pendakwaanlah. Tentang berapa lama dan syarat-syarat jaminan, belum boleh didedahkan lagi kerana mereka masih belum dibebaskan (sedang dalam proses)," katanya yang ditemui kira-kira pukul 3 petang ini.
Mohd. Fadly memberitahu, semua dokumen ikat jamin telah ditandatangani dan sedang diproses.
Proses ikat jamin tergendala sementara waktu ekoran gangguan bekalan elektrik di kawasan itu.
Ditanya bagaimana perasaan ahli keluarga anak guamnya, kata Mohd. Fadly, mereka gembira tetapi akur ia masih dalam siasatan polis.
"Semuanya gembira, tetapi siasatan masih berjalan. Pendakwaan masih boleh dijalankan bergantung kepada siasatan polis," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: