Wednesday, June 2, 2010

‘Cinta Bola’ Nita-Zahid

Nita dan Zahid telah bercinta lebih dua tahun.

NITA dan Zahid pasangan yang sentiasa ceria dan gila-gila ini mengumpul minat yang sama. Kedua-duanya bukan sahaja meminati bidang muzik tetapi turut meminati sukan bola sepak.

Musim bola Piala Dunia 2010 akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 12 Julai ini. Lantaran, mereka akan berentap menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Nita menyokong pasukan Netherlands manakala Zahid menggemari pasukan England. Kiranya Nita dan Zahid bakal bersaing ketika mengikuti perlawanan bola sepak itu.

Tetapi apabila tiba pasukan kelab kesukaan, kedua-duanya memilih pasukan yang sama iaitu Manchester United.

“Zahid akan menjadi rival saya semasa Piala Dunia 2010 ini nanti. Bagaimanapun, kami tetap akan menonton bola bersama-sama sekiranya ada masa terluang.

“Kami memilih untuk menonton bola di kafe Zahid iaitu Studio Café kerana dia akan memasang skrin televisyen bagi memberi peluang kepada pelanggan menikmati makanan dan minuman sambil menyaksikan Piala Dunia 2010,” kata Nita atau nama sebenarnya Norhanita Hamzah kepada mStar Online.

Studio Café milik Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharudin terletak di Blok 3 D, No 9, Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Link, Pusat Bandar Wangsa Maju.

Mereka bukan setakat bersaing pasukan kegemaran masing-masing, malah mereka juga sering berperang mulut. Bak kata Nita, tak sah kalau tak bergaduh. Biasalah... adat orang bercinta.

“Zahid suka menyakat saya pasal bola. Biasanya kami akan menghabiskan masa menonton bola sepak di warung mamak.

“Walaupun orang ingat dia serius, tetapi orang tak tahu dia juga suka buat lawak. Kadangkala tu, pandai-pandailah dia memujuk hati saya semula kerana dia pandai jaga hati orang lain.

“Sepanjang lebih dua tahun kami bercinta, dia seorang yang baik hati dan tak suka fikir banyak-banyak,” cerita Nita tentang kekasih hati.

Sejujurnya, pasangan ini sama seperti pasangan lain yang sedang bercinta. Ada masanya mereka romantik, adakalanya tidak.

“Kami hanya menjadi diri-sendiri. Kadangkala boleh jadi romantik dan kadangkala boleh jadi gila-gila.

“Kadangkala, kami suka keluar beramai-ramai dengan kawan-kawan lain. Kadangkala, kami juga suka keluar berdua-duaan sahaja sambil melakukan aktiviti kesukaan seperti menonton wayang,” beritahunya yang masih bernaung di bawah pengurusan 8Unit hingga 2011.

Banyak persamaan lain antara kedua-duanya termasuklah mereka dikenali selepas menyertai program realiti di televisyen.

Zahid merupakan juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) pada 2004 manakala Nita pula menjadi naib juara Malaysian Idol 2 pada 2005.

Kini, Zahid dan Nita turut berkongsi tentang muzik. Misalnya, Nita pernah mencipta lirik lagu untuk album Baru '08 Zahid berjudul Hadir Dirimu.

Ditanya tentang hasrat berumahtangga, Nita menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

“Bulan Oktober ini, genap usia percintaan kami selama tiga tahun. Kami memang ada terfikir tentang soal kahwin tetapi biarlah takdir yang menetukan.

“Sampai masanya, kami akan beritahu. Setakat ini kami belum sampai seru untuk berkahwin. Kalau boleh, saya nak mengenalinya dengan lebih mendalam lagi.

“Mana tahu, mungkin ada banyak lagi yang saya tak tahu tentang dirinya,” luah Nita lagi.

Sebelum ini, Nita pernah bekerja sebagai penyanyi kelab malam selama lapan tahun dan berpeluang menunjukkan bakat di serata negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.

Nita juga masih menerima undangan persembahan korporat di Kuala Lumpur dan luar Kuala Lumpur selain mencari material untuk single terbarunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: