Monday, June 7, 2010

Budak 5 tahun cedera bapa libas dengan tali pinggang

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera di kepala dipercayai selepas dipukul bapanya menggunakan tali pinggang dalam kejadian di rumahnya di Kampung Muhibah, Puchong, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan lapan tahun dijaga oleh bapa berikutan ibu mereka yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang belum balik.
Sumber berkata, kejadian itu disedari sebaik ibu mangsa berusia 30-an pulang dari tempat kerja yang terkejut melihat anaknya menangis kesakitan dan kepala berlumuran darah.Mangsa, anak bongsu daripada tiga beradik itu yang berada dalam ketakutan hanya menggelengkan kepala apabila ditanya, berikutan bimbang dipukul lebih teruk.

“Ibu mangsa tidak berpuas hati kemudian bertanyakan suaminya yang berusia 29 tahun berhubung kejadian anaknya yang berlumuran darah sebelum mengaku memukul anaknya menggunakan tali pinggang,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada ibu mangsa, petang kelmarin.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan gerakan memburu suspek sedang dijalankan. Polis yakin, suspek masih bersembunyi di sekitar kawasan kediamannya,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang murid lelaki Tahun Dua luka di pipi kanannya selepas ditampar oleh guru dalam kejadian di sebuah sekolah dekat Puchong, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikatakan ditampar guru lelaki yang berusia 30-an itu sejurus tamat sesi persekolahan dalam bilik darjah sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata ketika kejadian, ibu mangsa dikatakan sedang menunggu anaknya di luar sekolah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: