KALAU diikutkan apa kurangnya Datuk Siti Nurhaliza dalam pentas seni tanah air. Usah dipertikaikan soal popularitinya. Bahkan penyanyi ini juga cukup berdisiplin menjaga imejnya.
Namanya juga menjadi sebutan oleh semua kaum. Personaliti dan penampilannya sering dijadikan contoh atau teladan oleh pihak lain. Tidak hairanlah Siti Nurhaliza adalah antara penyanyi yang disegani. Namun begitu, ia masih tidak cukup kuat untuk memikat syarikat korporat atau firma besar tempatan untuk menjadi penaja bagi konsertnya yang dirancang pada hujung tahun ini. Konsert solo itu itu dirancang sempena ulang tahun ke-15 pembabitannya sebagai anak seni.Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini masih lagi menanti keputusan daripada syarikat yang sudi menaja. Seandainya permohonannya lulus, hasrat peminat untuk menyaksikan dia mempamerkan suara emasnya terlaksana.
Siti sendiri mengakui betapa dia rindu untuk beraksi di konsert terbuka seperti Konsert Mega Siti Nurhaliza di Bukit Jalil pada 2001. Tapi masalah mendapatkan tajaan terus menjadi kekangan. Kalau banyak yang sudi menaja, lebih besar konsert yang akan diadakan.
Ditanya, kenapa tidak Siti Nurhaliza Production (SNP) saja yang mengeluarkan bajet kerana penyanyi itu dikhabarkan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Dengan senyuman manis Siti menjawab, bukan dia tidak mahu mengeluarkan bajet sendiri untuk konsertnya.
Siti yang ditemui selepas selesai rakaman program Lebaran Diva Datuk Siti Nurhaliza di Studio 1, Astro, baru-baru berkata, memang dia pernah mengeluarkan separuh bajet untuk beberapa siri konsertnya sebelum ini seperti konsertnya di Istana Budaya (IB).
“Bukan tidak mahu mengeluarkan bajet untuk konsert, tetapi kita memerlukan penaja. Begitu juga dengan syarikat korporat atau firma besar yang sedang mencari platform untuk dikenali. Melalui penajaan untuk konsert, pihak penaja sebenarnya mendapat manfaat amat besar untuk mengukuhkah jenama mereka.
“Insya Allah konsert Siti tetap akan diadakan juga tahun ini bagi melakar sejarah 15 tahun Siti dalam industri. Konsert bagaimana yang akan Siti jayakan masih belum diketahui, sekiranya penajaan yang diterima besar, berkemungkinan Siti akan adakan sebuah konsert terbuka,” kata penyanyi yang bakal meraikan ulang tahun perkahwinannya yang keempat pada 21 Ogos depan.
Dalam pada itu, Siti juga turut melahirkan rasa terkejut dan simpati dengan nasib pelakon dan pelawak, Saiful Apek yang ditahan polis kerana disyaki mengambil dadah pada 13 Jun tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis lima hari kemudian.
Katanya, Saiful dianggap sebagai rakan setugas yang cepat serasi dan sering memberi keselesaan kepadanya setiap kali mereka mengadakan persembahan bersama.
Disebabkan keserasian itu juga, Siti kerap mengundang Saiful untuk bergandingan menjayakan pelbagai program untuk stesen TV atau persembahan minggu setiausaha.
Bagaimanapun, penyanyi ini tidak mahu mengulas lanjut mengenai pandangannya terhadap Saiful lebih-lebih lagi apabila pelakon komedi itu ditahan polis.
“Cuma Siti berharap kejadian yang menimpa saiful Apek itu berakhir dengan kebaikan. Mungkin perkara sebegini boleh memberi pengajaran kepada semua pihak.
“Siti memang terkejut apabila mendapat berita Saiful Apek ditahan, kerana bagi Siti, dia memiliki bakat yang besar. Apapun Siti berharap abang Saiful akan belajar daripada kesilapan ini,” katanya.
Tiada masalah bersama Akim, Shahir
SEBELUM ini Siti Nurhaliza pernah bekerjasama dengan adik beradiknya Siti Saerah dan Siti Norsaida, juga bersama Saiful Apek dan Faizal Tahir untuk menjayakan program raya. Namun untuk tahun ini, Siti memilih dua bakat baru iaitu Akim dan Shahir, juara AF8 untuk bersama-sama memeriahkan program Lebaran Diva Datuk Siti Nurhaliza.
Katanya, nama penyanyi itu dicadangkan pihak Astro dan dia sendiri tidak mempunyai masalah dengan mereka. Bagi menampilkan sedikit perbezaan kepada program raya bersama Astro, Siti memilih sentuhan jazz pada lagu Debaran Cinta, Bukan Cinta Biasa dan Hanya Dia.
Alasannya, dia mahu penonton melihat perbezaan antara program ini dengan programnya di RTM, TV3 dan TV9.
Menurutnya, dia juga memang sengaja menyudahkan semua rakaman untuk program raya kerana ingin bercuti sepanjang Ramadan nanti. Bagaimanapun, jelas Siti, dia akan tetap memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak yatim sekiranya menerima pelawaan.
Selain tiga lagu itu, Siti juga tidak ketinggalan mendendangkan lagu Air Mata Syawal, malah turut berduet dengan Akim dan Shahir.
Shahir ternyata bertuah apabila diberi peluang berduet dengan penyanyi hebat itu menerusi lagu Ketika Cinta Bertasbih selain Kebahagiaan Dalam Perpisahan. Akim pula mendendangkan lagu Inilah Cinta dan Menunggu.
Sementara itu, berbicara mengenai Ramadan dan Syawal, Siti berhasrat menunaikan umrah sekali lagi pada bulan puasa ini. Sebagaimana kelazimannya, beliau gemar memilih penghujung Ramadan untuk menunaikan umrah tetapi perkara itu juga diserahkan pada takdir.
Mengenai perancangan raya pula, Siti berasakan, tahun ini giliran untuk beraya di rumah mentuanya di Kedah dan beberapa hari selepas itu barulah dia akan pulang meraikan Aidilfitri di rumah keluarganya di Kuala Lipis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: