KALAU sudah jodoh tidak ke mana. Itulah ungkapan yang paling sesuai diberikan kepada pelakon Aqasha,28, apabila dia bertemu semula dengan gadis idamannya selepas sembilan tahun terpisah.
Pertemuan kali kedua yang terjalin pada tahun lalu itu memberi makna yang amat mendalam apabila dia berhasrat untuk menjadikan editor di stesen televisyen Astro, Baizura Sabri,26, itu sebagai isterinya.
Menurut Aqasha, selepas pertemuan itu mereka bersetuju mengikat tali pertunangan pada bulan Mei lalu dan merancang mengadakan majlis pernikahan dan persandingan serentak di rumah pengantin perempuan.
Ia di jadual akan diadakan pada 10 Oktober akan datang sementara majlis persandingan di sebelah lelaki akan diadakan sempena Hari Krismas.
Aqasha memberitahu, mereka belum menguruskan urusan pernikahan lagi kerana kesibukan tetapi akan melaksanakannya sebelum tarikh tersebut.
“Yang lebih penting, tunang saya ingin majlis itu nanti berjalan lancar, cukup makan dan tetamu pun selesa. Kami ingin bersederhana,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra drama bersiri Dendam Orang Minyak di TV3, Rabu lalu.
Pelakon berbakat ini mengakui dia selesa bersama Baizura kerana mereka berkongsi karakter yang sama selain tunangnya itu menerima dia seadanya.
"Karakternya macam saya. Dia seorang yang ringkas, berfikiran tajam dan tahu apa yang dia nak buat. Kami juga berminat menonton filem," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: