HASRAT mahu membantu ibu bapa dan adik-beradik dari hidup susah, akhirnya Ana Raffali berjaya menghasilkan album pertamanya, Ketika Aku Kecil.
Pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali itu semakin dikenali ramai menerusi single pertamanya, Hujan Bunga di Kuala Lumpur yang hangat disiarkan di stesen-stesen radio.
Bermula dengan hobi bermain gitar, Ana mula berjinak menulis lagu sebagai cara meluahkan perasaannya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pendidikan Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Sejak daripada itu, dia turut melibatkan diri dalam pelbagai persembahan di gig kecil dan memuat naik rakaman nyanyiannya di laman sesawang YouTube.
Dari situ, komposer terkenal Aidit Alfian menonton rakaman nyanyiannya dan tertarik untuk mengambilnya sebagai penyanyi pertama di bawah syarikat rakamannya, Aidit Alfian Records. Malah Aidit turut menyertai Ana membuat persembahan gig atas jemputan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kehadiran gadis yang terkenal dengan identiti mengadakan persembahan dengan mengenakan baju kurung atau berkebaya bersama gitar akustik itu turut disokong oleh kumpulan The Marhaens.
Selain Aidit kumpulan itu turut dianggotai oleh Azizi Masri (GG), Andy (Flop Poppy), Alfa Booty, Rumie Booty, Mie, Cha’a, Pito, Iqbal, Nazrin, Rohnie, Geeka dan Bobo.
Bukan mudah untuk Ana Raffali mengecap kejayaan seperti sekarang. Dia bertuah apabila bertemu komposer terkenal, Aidit Alfian yang ‘menyelamatkannya’ daripada membuat persembahan secara percuma. "Saya rasa sebak bila Aidit beritahu tentang sejarah pembikinan album saya. Biar apa pun dugaan yang saya tempuhi, saya membuat sesuatu yang saya suka dan sentiasa ingat apa yang saya impikan.
“Segala-galanya kerana saya nak raih pendapatan untuk menolong ibu bapa. Saya ada perjuangan tersendiri.
“Selain itu, saya juga mahu masyarakat hargai lagu-lagu kita selain menempa nama dalam industri ini,” kata anak kesembilan daripada 11 beradik itu di majlis pelancaran album tersebut di Felda Villa, semalam.
Dalam pada itu, Aidit berkata dia mengenali Ana sejak November 2007. Pada Mac 2008, dia dan Ana mula membuat persembahan secara akustik di universiti Ana.
Banyak perkara yang ditimba oleh Ana termasuk perkara di luar dari industri hiburan. Misalnya dia membuat persembahan tanpa menerima apa-apa bayaran.
“Saya cuba membantunya apa yang perlu. Dari situ dia belajar tentang perbincangan. Dia sudah merasa pengalaman mendapat bayaran show dan ada yang tiada bayaran.
“Sekali dua mungkin okey tapi kita semua cari makan dengan muzik. Jadi, kita kena fikirkan caranya,” ceritanya.
Kini, Ana sudah mampu berdiri sendiri dengan menubuhkan syarikat penerbitannya iaitu Ana Raffali Muzik Enterprise.
Nama Ana Raffali semakin hebat dengan kemunculan album yang mempertaruhkan enam buah lagu yang digubah dan ditulis sendiri olehnya.
Lagu-lagu tersebut ialah Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.
Album edaran Universal Music Malaysia itu telah berada di pasaran sejak akhir April lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: