Tuesday, June 15, 2010

Age Of Glory II Kembali Dengan Jalan Cerita Baru

Sebuah kisah yang memaparkan cabaran generasi pertama masyarakat Cina di Malaya

Barisan pelakon utama dan sampingan.

MUSIM kedua drama Cina bersiri ntv7 bertajuk Age of Glory yang dinanti-nantikan kini kembali dengan berlatarbelakangkan zaman 30-an hingga 70-an.

Adegan pertama bermula sekitar tahun 1938 ketika aliran penghijrahan bangsa Cina ke arah “Nanyang” atau ke rantau selatan daripada negara China masih berterusan.

Pada ketika itu Malaya merupakan salah satu destinasi penghijrahan terpilih – sebuah negara membangun yang menarik minat penghijrah yang ingin memperbaiki nasib kehidupan mereka.

Age of Glory II akan keudara setiap hari Isnin hingga Khamis, bermula 14hb Jun 2010, dari pukul 10.00 malam sehingga 11.00 malam.

Age of Glory musim pertama mencatat jumlah 800,000 penonton di kalangan penonton Cina berumur 4 tahun ke atas, secara langsung menjadi drama Cina tempatan yang mempunyai rating tertinggi di Malaysia pada tahun 2008.

Drama bersiri yang memaparkan zaman 50-an itu berjaya menambat hati ramai penonton dan kemunculan musim kedua ini amatlah dinanti-nantikan.

Keunikan siri musim kedua pula adalah jalan ceritanya yang baru dan amat berlainan daripada jalan cerita musim pertama.

Jika dulu protagonis cerita terdiri daripada tiga orang wanita dan berlatarbelakangkan zaman 50-an, kali ini pelakon utama adalah tiga orang lelaki yang baru berhijrah ke Malaya pada zaman 30-an.

Kos penerbitan drama 40 episod ini mencecah RM3 juta disebabkan pendekatan berkualiti keatas pembinaan set serta pembuatan kostum dan prop untuk menghasilkan paparan era dari zaman 30-an ke 70-an yang berkesan.

Pihak produksi mengambil masa setahun untuk membuat penyelidikan dan persiapan yang teliti dari segi sejarah, pembangunan skrip dan penghasilan prop dan set.

Rakaman juga dibuat di beberapa lokasi termasuk Penang, Taiping, Kuala Selangor dan Seremban untuk menghasilkan karya drama terbaik. Pelakon lelaki utama adalah pembaca berita dan hos popular Goh Wee Ping, dan calon-calon Golden Award Frederick Lee dan Leslie Chai.

Pengurus Besar NTV7, Airin Zainul dan Pengurus Penjenamaan ntv7 Lai Cheah Yee bersama para pelakon dan kru.

Barisan pelakon wanita pula sama berbakat dan terdiri daripada calon-calon Golden Award Debbie Goh, Aenie Wong dan Hishiko.

Pelakon sampingan yang terdiri daripada Elvis Zeng Wen Wei, Angie Siao, Joanne Yu Feng Yin, Kyo, Wen Shao Ping, Zeng Hong Hui, Mak Fong dan Mai Gui Yuan turut memantapkan lagi barisan pelakon musim kedua siri drama popular ini.

Goh Wee Ping menjalankan diet, dan mempelajari cara menulis kaligrafi Cina, bermain harmonica dan mendeklamasi sajak semata-mata untuk mendalami wataknya sebagai seorang cikgu bernama Lim Wen Shen.

Leslie Chai yang memegang watak seorang bisu bernama Zhang Da Qing pula membuat penyelidikan rapi untuk mendalami wataknya.

Watak bisu yang tidak mempunyai dialog merupakan cabaran baginya kerana harus menunjukkan emosi dari riak wajah dan mata sahaja.

Frederick Lee pula berlakon sebagai Ma Ying Jie, seorang usahawan berjaya yang bermula dari bawah sebagai penarik beca.

Seperti di musim pertama, Debbie Goh memegang watak seorang penyanyi, tetapi kali ini wataknya penyanyi opera Ye Feng Yi.

Aenie Wong pula memegang watak seorang cikgu muda bersemangat tinggi Zheng Pei Qi yang mempunyai ijazah dari UK. Hishiko melakonkan watak Wan Yue, isteri kepada Zhang Da Qing.

Watak Wan Yue memerlukan Hishiko berlakon sebagai seorang yang lemah-gemalai, setia dan lembut hati.

Jalan cerita Age of Glory II memaparkan kesusahan dan rintangan generasi pertama bangsa Cina yang berhijrah ke Malaya yang kebanyakkannya datang sehelai sepinggang dan hanya berbekalkan semangat kental untuk berjaya.

Tidak mudah putus asa, mereka berusaha mengecapi kejayaan di negara orang walaupun berdepan dengan Perang Dunia II, rejim Jepun dan penjajahan British.

Kisah pergolakan hidup mereka dalam mengejar impian dan percintaan disertakan penggunaan lokasi, set dan busana yang memaparkan era berkenaan akan pastinya menarik hati penonton.

Age of Glory II akan membawa kenangan nostalgia kepada generasi lama sambil memberi pengajaran kepada generasi muda tentang kesusahan yang dialami moyang mereka ketika baru melangkah ke negara baru,” kata Lai Cheah Yee, Pengurus Penjenamaan untuk kandungan Cina ntv7.

“Usaha teliti untuk membuat set dan skrip yang berkualiti untuk memberi paparan terbaik era berkenaan sudah tentunya akan memberi penonton pengalaman sejarah dalam bentuk hiburan yang berada di kelas tersendiri.”

Kesemua drama Cina tempatan di tayangan waktu perdana ntv7 telah mendapat rating yang tinggi dengan purata minima 600,000 penonton dan jumlah penonton tertinggi sebanyak 850,000.

Untuk terus mengembangkan industri hiburan Cina tempatan, ntv7 memperkenalkan anugerah Golden Awards yang akan julung kalinya diadakan pada September ini.

Anugerah tersebut akan meraikan yang terbaik dalam industri hiburan Cina tempatan.

Jangan ketinggalan menyaksikan drama penuh sejarah Age of Glory II bermula 14hb Jun 2010, hari Isnin ke Khamis pada pukul 10.00 malam hingga 11.00 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: