Tuesday, June 8, 2010

Afrika Selatan usir 10 samseng bola sepak


PEMINAT-PEMINAT pasukan bola sepak Argentina menunggu untuk memasuki Pusat Berprestasi Tinggi, Universiti Pretoria, Afrika Selatan bagi melihat pasukan bola sepak Argentina berlatih kelmarin.


JOHANNESBURG - Polis Afrika Selatan mengusir 10 orang samseng bola sepak Argentina semalam selepas menahan mereka di sebuah lapangan terbang di sini kurang seminggu sebelum Kejohanan Piala Dunia bermula.

Samseng itu yang merupakan sebahagian daripada 80 penyokong berlepas dari Amerika Selatan melalui Angola dan merupakan anggota kumpulan mafia terkenal Barrabravas yang disenarai hitam untuk menyaksikan pertandingan berkenaan.

"Risikan menunjukkan bahawa mereka mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan kekacauan, terlibat dalam rusuhan dan memprovokasi peminat pihak lawan dan juga kumpulan lain dari Argentina," kata satu kenyataan polis.

"Mereka kemudian segera dihalang dan tidak dibenarkan memasuki negara ini," tambah kenyataan sama.

Polis Afrika Selatan kurang berpengalaman dalam menangani samseng bola sepak kerana gejala tidak sihat itu tidak berlaku dalam arena bola sepak tempatan.

Polis negara itu kini bergantung kepada maklumat daripada pihak berkuasa negara-negara luar dalam usaha mengesan mereka yang berpotensi mencetus kekacauan.

Kenyataan sama memuji pengusiran samseng-samseng bola sepak itu sebagai kejayaan besar yang menunjukkan kerjasama antara pasukan polis di seluruh dunia selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Kejayaan tersebut juga merupakan amaran bahawa kelakuan biadab dan ganas tidak akan dibiarkan mencemari Piala Dunia pertama yang kali pertama diadakan di Afrika Selatan.

Menteri Polis Afrika Selatan, Nathi Mthethwa pada bulan lalu memberitahu, polis tempatan dan Britain telah menggagalkan percubaan samseng-samseng bola sepak England untuk memasuki Afrika Selatan melalui Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Seramai 3,200 samseng bola sepak England itu diarahkan supaya menyerahkan pasport mereka bagi menghalang kumpulan tersebut daripada pergi ke Afrika Selatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: