Saturday, February 20, 2010

Sinepleks: My Name Is Khan rancak di pawagam



MAMPUKAH Teen Patti mencipta impak seperti dilakukan My Name Is Kan?

Amitabh Bachan dan Ben Kingsley dalam Teen Patti

KETIKA ini mungkin peminat filem Hindustan rancak bercerita mengenai filem terbaru lakonan Shahrukh Khan, My Name Is Khan, yang menggandingkan kembali bintang ternama itu bersama seorang lagi pelakon handalan Bollywood, Kajol, selepas sembilan tahun.

Diarahkan sutradara terkemuka India, Karan Johar, filem terbabit dikatakan bukan saja mencetuskan fenomena luar biasa dari segi sambutan penonton, malah ia juga tidak sunyi daripada kontroversi.


Aktor itu membuatkan pertubuhan Shiv Sena marah apabila membuat kenyataan pemain Pakistan patut dimasukkan sekali dalam pertandingan kriket Liga Perdana India Twenty20, yang bermula bulan depan.

Shiv Sena, sebuah pertubuhan yang menganggap diri mereka sebagai penegak nilai tradisi Hindu, cuba mengganggu pembukaan filem berkenaan di Mumbai, baru-baru ini, tetapi gagal berbuat demikian kerana adanya kawalan keselamatan yang begitu ketat.

My Name Is Khan ialah filem Bollywood pertama diedarkan Fox untuk pasaran seluruh dunia dan muncul filem Hindustan terbesar kutipan pembukaannya di United Kingdom, dengan RM5 juta. Di Amerika Syarikat, selepas empat hari tayangan, ia memungut RM7.8 juta.

Pada 26 Februari ini, sebuah lagi filem Hindi, Teen Patti, akan memasuki pawagam. Kali ini, ia menampilkan Amitabh Bachchan, yang beraksi di sisi pemenang Oscar, Ben Kingsley; serta pelakon terkenal dari India Selatan, R. Madhavan.

Turut membintangi filem arahan Leena Yadav terbitan Ambika Hinduja ini ialah Raima Sen, Shraddha Kapoor, Saira Mohan, Siddharth Kher, Dhruv Ganesh, Vaibhav Talwar, Tinnu Anand, Shakti Kapoor dan Mahesh Manjrekar.

Berlatarkan negara India dan England, Teen Patti ialah sebuah kisah mengenai sikap tamak, penipuan dan kuasa daya imaginasi.

Ben Kingsley memainkan watak Perci Trachtenberg, dianggap sebagai tokoh matematik paling disegani di dunia. Manakala Venkat (Bachchan) pula cendekiawan matematik yang tidak suka menonjolkan diri. Kedua-duanya bertemu di sebuah kasino terkenal di kota London.

Venkat memberitahu Perci mengenai sebuah persamaan yang bukan saja mampu menukar perbualan mengenai dunia matematik buat selama-lama, malah melakukan perkara sama terhadap seseorang yang meninggalkan begitu banyak kenangan dalam hidup Venkat.

Rupa-rupanya, Venkat berjaya memecahkan teori yang mampu menafsirkan kembali prinsip kebarangkalian dan kerawakan.

Bagaimanapun, persamaan yang ditemuinya mempunyai sisi kelamnya sendiri. Venkat digalakkan untuk mencuba teorinya dalam kehidupan sebenar oleh Profesor Shantanu (Madhavan), teman sekerja yang bercita-cita tinggi.

Walaupun Venkat tidak berminat terhadap wang yang mungkin didapati daripada amalan teori persamaan untuk memecahkan sejenis permainan poker, Teen Patti, namun dia akhirnya termakan pujukan Shantanu. Kemudian, dengan bantuan beberapa pelajar, mereka meneroka pusat perjudian bawah tanah di Mumbai.

Filem sepanjang 204 minit ini dihasilkan berdasarkan filem Hollywood berjudul 21, sebuah kisah mengenai seorang profesor MIT yang merekrut pelajar terbaiknya untuk menghitung kad di Las Vegas, dengan tujuan mendapatkan habuan melimpah-ruah. Filem berkenaan dibintangi Jim Sturgess, Kevin Spacey, Jacob Pitts, Kate Bosworth, Laurence Fishburne, Aaron Yoo, dan Liza Lapira.

Filem 21 itu sendiri dibuat berdasarkan kisah benar Pasukan Blackjack MIT sebagaimana yang diceritakan dalam buku Bringing Down the House, tulisan Ben Mezrich.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: