Saturday, February 20, 2010

Seksa hilang orang tersayang dalam Dunia Batinku



Sheila Rusly

KEHILANGAN insan tersayang yang menjadi tulang belakang pada keluarga sememangnya memeritkan. Namun, apa yang berlaku sudah ditentukan oleh qada dan qadar. Semangat air mata adalah teman setia untuk meneruskan kehidupan. Yang pergi pastinya tidak akan kembali lagi.

Itulah yang dipaparkan penerbit dan pengarah terkenal, Azman Yahya atau Jinggo dalam karya terbarunya, Dunia Batinku yang disiarkan dalam slot Cerekarama di TV3, malam ini.

Menerusi JS Pictures Sdn Bhd, Jinggo dan isterinya, Sheila Rusly pasti mahukan kelainan dalam setiap cerita yang dipaparkan. Penuh air mata, nyata kasih dan pengorbanan seorang ibu tiada ukurannya. Dunia Batinku, skrip dan karya Rozie Rashid menampilkan lakonan menyentuh jiwa Shafie Naswip, Syahirah Maisara, Normah Damanhuri, Sheila Rusly, Fizz Fairuz, Memey Suhaiza, Shahrolnizam Noor, Nur Fathia dan Nina Caryn.


Dunia Batinku sarat nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran, selain menekankan kepentingan kasih sayang keluarga, pengorbanan mulia seorang ibu dan rasa hormat serta taat setia anak-anak kepada orang tua.

Drama menarik ini mengisahkan Khadija (Sheila Rusly), seorang wanita yang selama ini bergantung hidup dengan suami tetapi terpaksa akur dengan ketentuan Illahi. Kehilangan suami menyebabkan Khadija pada awalnya tidak berdaya untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi, apabila mengetahui dirinya berbadan dua. Demi anak-anak yang semakin membesar serta ibu mentuanya, Halimah yang uzur kerana kencing manis, Khadija tidak ada pilihan lain dan terpaksa bekerja siang dan malam untuk menampung kehidupan seharian mereka.

Halimah pernah cuba membunuh diri kerana tidak mahu menyusahkan Khadija anak-beranak. Meskipun dihimpit kepayahan hidup, Khadija tidak membenarkan anak-anaknya berhenti sekolah. Khadija yakin hanya pelajaran yang boleh mengubah taraf kehidupan mereka. Anak sulungnya, Zainal akan menduduki PMR. Anak keduanya, Siti Zaharah akan mengambil peperiksaan UPSR dan yang paling bongsu, Siti Mariam baru berusia enam tahun. Sikap degil Zainal yang sering bercanggah pendapat dengannya menambahkan lagi tekanan hidup Khadija. Malang tidak berbau. Khadija dipatuk ular sewaktu berkebun seorang diri dan tidak sempat diselamatkan bersama anak dalam kandungannya.

Zainal menyesal kerana sering mengecewakan ibunya. Dia nekad berusaha untuk cemerlang dalam akademik supaya dapat mengubah nasib keluarga dan memberikan kehidupan yang lebih baik untuk adik beradiknya. Namun, dugaan demi dugaan menimpa, adik bongsunya, Siti Mariam terpaksa dihantar ke rumah anak-anak yatim. Dapatkah Zainal menunaikan janji kepada adik-adik, mereka akan bersatu kembali?

Sheila berkata, ini adalah antara karya terbaik yang diterbitkan JS Pictures. Kalau penonton menitiskan air mata melihat drama Tuhan Pun Tahu, Demi Masa, Restu Mentua dan Taubat Nasuha, sebaliknya Dunia Batinku bertambah meruntun jiwa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: