Sunday, February 14, 2010

Sarimah + Jimmy = Transformasi AF8




FAKTA telah diperakukan Astro dan terjawablah sudah setiap persoalan yang selama ini tergantung. Kepada pengikut program pencarian bakat Akademi Fantasia (AF), pengumuman jentera pengajar baru AF yang bakal membuka sesi musim kelapan (AF8) Mac nanti, semestinya sangat ditunggu-tunggu.

Kerusi pengetua AF8 disandang oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Berhad, Norman Abdul Halim. Lebih akrab digelar Norman KRU, profil yang dimiliki lelaki 40-an itu cukup teguh menjadikan pemilihannya sebagai pengetua AF8 tidak harus disangkal.

Selain Norman, penampilan Jimmy Shanley, 30, dan Sarimah Ibrahim, 32, menjadi kejutan paling ketara dalam AF8. Sebelum ini, Jimmy sudah enam tahun mengacarakan Trek Selebriti manakala Sarimah sendiri sudah 13 tahun bergelar pengacara.

Dia juga bukan asing dalam AF kerana pernah diberi kepercayaan mengendalikan Diari AF6 dan AF7. Dia mendapat jolokan sebagai Kak Mah Gali selepas menjadi perantara dalam Fail Sulit.

Meskipun diberi portfolio berbeza, Sarimah mengendalikan Debaran AF8 manakala Jimmy Diari AF8, dua pengacara yang baru pertama kali berkongsi pentas itu akan berkolaborasi merancakkan malam Konsert AF8 yang akan berlangsung pada setiap malam Sabtu.

Persoalan terkini, walaupun kedua-duanya berdarah kacukan, bercantumkah keserasian Sarimah dan Jimmy memandangkan masing-masing daripada latar pengacaraan berbeza.

"Sebenarnya sangat banyak kesukaran yang sedang saya hadapi ketika ini. Cabaran paling besar ialah untuk berada atas titik keseimbangan antara saya dengan teman hos (Jimmy).

"Begitu juga antara saya dengan tradisi AF yang penuh emosi, antara AF dengan stail pengacaraan saya dalam program terdahulu dan banyak lagi.

"Saya sangat menghormati tradisi AF dan saya tidak mahu AF8 jadi program syok sendiri. Semua orang tahu, saya baru habis mengendalikan Biggest Loser Asia.

"Penonton telah lihat transformasi saya dalam program berkenaan dan sekarang satu lagi transformasi sedang saya lakukan," jelas Sarimah bersulam teruja.


WAJAH baru yang menyampaikan emosi segar kepada AF8. Berjayakah gandingan baru ini mewarnakan AF8 kelak?


Jimmy sebagai pengacara termuda yang pernah berada di gelanggang AF turut berdepan krisis yang hampir serupa.

Paling dikhuatiri, dikritik atau dibanding-bandingkan dengan dengan pengacara terdahulu.

"Saya serahkan semuanya kepada penonton. Dulu AC Mizal juga berdepan situasi yang sama apabila dia mengambil AF daripada tangan Aznil Nawawi.

"Kritikan ada baiknya kerana daripada situ seseorang itu akan dinilai. Yang penting, saya tidak akan meniru-niru gara AC atau Aznil, saya mahu jadi Jimmy Shanley yang dikenali sebelum ini," katanya.

Sedia memikul kepercayaan majikan untuk AF8, akui Jimmy, dia cuma lelah apabila memikirkan permainan emosi yang menjadi elemen penting sepanjang konsert nanti.

"Saya jenis yang ceria, tak pandai hendak meluahkan perasaan sedih dan beremosi dalam program TV. Saya cuma pernah menangis dalam satu rakaman yang dibuat di pusara bapa saya.

"Nasib baiklah, keputusan penyingkiran tidak dibuat pada malam konsert. Itu tugas Sarimah, dia lebih mahir dalam bab berkenaan," jelas Jimmy yang sedikit tersentuh hatinya apabila terpaksa meninggalkan Trek Selebriti.

Sehebat mana penangan Jimmy dan Sarimah, AF8 yang akan memulakan siaran secara rasminya 13 Mac nanti bisa menemukan satu lagi jawapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: