Sunday, February 14, 2010

Muse bikin histeria




APABILA vokalis, Matthew Bellamy membayangkan dia adalah peminat konsep efek aerial, dapat ditebak konsert Muse akan berlangsung dalam suasana sebegitu.

Pemilihan Es Devlin sebagai pereka set yang menamakan set Muse sebagai Brilliant Stages dengan bantuan pengurus produksi, Chris Vauhgan adalah sangat tepat.

3 Tower beserta skrin F-LED sudah cukup membuktikan Muse patut menerima anugerah Best Live Show. Konsert ini sangat gempak dan spektakular.

Beberapa jam sebelum konsert Big Night Out bermula di Stadium Tertutup Singapura pada 3 Februari lalu, saya sempat menemu ramah pemain bass, Muse Chris.

Chris berkata, pembikinan album kelima yang merupakan album pertama yang mereka terbitkan sendiri, berhadapan dengan ego dan kritikan ahli-ahli Muse sendiri seolah-olah memberi bayangan itulah kelemahan mereka.

Namun, apabila konsert berlangsung tepat pukul 10 malam, segala ego itu disatukan untuk menjadikan persembahan mereka adalah yang terbaik buat 11,000 peminat setia.

Muse tanpa banyak bicara memulakan konsert dengan 'tembakan' lagu-lagu hit mereka.


KONSERT ekspresionisme ini diharapkan akan menggegar Asia lagi kerana Muse ternyata antara grup terbaik di pentas.


Bermula dengan Uprising diikuti dengan Supermassive Black Hole dan berlarutan hingga 16 buah lagu termasuk Map Of The Problematique, Resistance, Hysteria, Stockholm Syndrome, Nishe, Sunburn, Undisclosed Desires, MK Ultra, Starlight dan Time Is Running Out. Cuma satu dua perkataan yang meluncur keluar daripada mulut sang vokalis.

Matt tidak perlu banyak bercakap kerana pencinta mahu mendengar teriakan vokal falseto dan vibratonya. Membuka mulut untuk menyanyi sudah menghasilkan suasana eforia bahkan histeria buat penonton.

Rata-rata penonton bersatu menjadi penduduk 'United States of Eurasia' iaitu salah satu lagu yang dibikin oleh semua anggota Muse dan mempunyai mesej yang mendalam.

Mereka terbuai dan bersatu dalam muzik yang dikawal oleh Matthew Bellamy (vokal, gitar), Dominic Howard (drum) dan Chris Wolstenhorme (gitar, suara latar) serta penambahan ahli panggung dengan kehadiran Morgan Nichols mengebuk drum dan keyboard - mantap dan padat.

Gelap serta dalam dengan mesej lirik, yang menonton bukan datang hanya untuk menadah telinga tetapi lebih daripada itu. Mereka datang dengan antusias dan cintakan muzik Muse.

Nyanyian daripada hati grup yang terinspirasi oleh Queen dan Led Zeppelin ini mengaum dan sampai ke penjuru hati pendengar.

Mereka menyanyi bersama lagu-lagu yang dipetik daripada album Absolution, Black Holes and Revelations mahupun album The Resistance yang membawa kepada konsert ini.




Bayangkan tembakan lampu hijau dan merah bersatu dengan lagu-lagu yang padu. Bak kata Chris, sebuah grup itu diuji dengan persembahan live mereka dan itu jugalah faktor yang membuatkan grup itu hebat.

Sistem pencahayaan yang cantik di sekeliling dinding stadium dan pentas turut membuahkan keterujaan.

Dibaluti dengan muzik yang sangat padat, permulaan konsert sudah menunjukkan kehebatan. Visual dan muzik bersatu dan menjadi mimpi indah yang dibawa pulang oleh setiap penonton.

Tiga lagu terakhir sebagai hadiah encore - Exogenesis Part I, Plug in Baby dan Knights of Cydonia menambahkan lagi kepuasan. Muse memberi kesan terdalam dengan muzik mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: