Wednesday, February 3, 2010

Rekod ciptaan Beyonce, Taylor


WAJAH terkejut Taylor Swift sewaktu menerima trofi Album Terbaik daripada John Legend.


SEJAK dari awal senarai calon anugerah Grammy ke-52 diumumkan, ramai yang meramalkan dua nama ini iaitu Beyonce Knowles dan Taylor Swift akan bersaing hebat pada malam bersejarah itu.

Manakan tidak, dengan 10 dan lapan pencalonan yang diterima oleh Beyonce dan Taylor menjadikan mereka calon utama untuk mencipta sejarah pada Grammy kali ini.

Namun, malam Ahad lalu bertempat di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat semua ramalan itu benar-benar menjadi kenyataan apabila Beyonce dan Taylor mencipta rekod Grammy.

Bersandarkan album solo ketiganya, I Am... Sasha Fierce itu, Beyonce kini mampu tersenyum puas dan bangga apabila menjadi penyanyi wanita pertama yang memenangi enam trofi Grammy dalam satu malam.

Malah, buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran Grammy selama 52 tahun, belum pernah mana-mana penyanyi wanita berjaya memenangi trofi sebanyak itu.

Sebelum ini, penyanyi R&B itu pernah mencipta rekod tersendiri apabila merangkul lima trofi pada tahun 2004 menerusi album solo pertamanya, Dangerously In Love dan sekali gus meletakkannya sebaris dengan Norah Jones, Alicia Keys dan Lauryn Hill.

Kemenangan Beyonce pada malam Grammy ke-52 termasuklah tiga kategori yang dimenanginya menerusi lagu Single Ladies (Put A Ring On It) iaitu Lagu Terbaik, Lagu R&B Terbaik dan Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik.

Selain itu, tiga kategori lain yang dimenanginya ialah Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik untuk lagu Halo, Persembahan Vokal R&B Tradisional Terbaik (At Last) dan Album Kontemporari R&B Terbaik (I Am... Sasha Fierce).

"Saya hanya mampu berterima kasih kepada semua pihak yang memilih saya sebagai pemenang pada malam ini.

"Ternyata malam ini begitu indah dan menakjubkan buat saya. Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini," jelas Beyonce sewaktu menerima trofi Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik.

Kemenangan terbarunya itu telah menjadikan total keseluruhan trofi Grammy yang dimenangi Beyonce menjadi 16 buah kesemuanya termasuk yang pernah dimenanginya sewaktu bersama kumpulan Destiny's Child.

Biarpun mencipta rekod sehingga digelar Ratu Grammy, Beyonce tetap dilihat sebagai tewas di mata pengkritik dan pemerhati hiburan Hollywood apabila gagal mengungguli dua lagi kategori utama iaitu Rakaman Terbaik dan Album Terbaik.

Untuk kategori Rekod Terbaik, Beyonce yang mempertaruhkan lagu Single Ladies (Put A Ring On It) tewas kepada kumpulan rock, Kings of Leon yang memenanginya menerusi lagu Use Somebody.

Lagu itu turut menobatkan Kings of Leon dengan dua gelaran lain dalam kategori rock iaitu Lagu Rock Terbaik dan Persembahan Vokal Rock Duo/Berkumpulan Terbaik.

Kemenangan kumpulan itu benar-benar mengejutkan ramai pihak memandangkan sebelum ini lagu Single Ladies (Put A Ring On It) dan You Belong With Me nyanyian Taylor dilihat berpotensi untuk memenangi kategori berkenaan.

Tetapi jika dilihat kepada sejarah Grammy, rasanya tiada apa yang mengejutkan kerana apabila menyebut tentang Grammy, tiada siapa yang mampu menidakkan sebarang kejutan yang dicipta oleh anugerah berprestij itu saban tahun.

Tetapi, harus diingat, Grammy tidak mengambil faktor populariti semata-mata tetapi nilai kualiti yang diukur dalam memilih seseorang pemenang itu.

Dalam pada itu, empat trofi yang dimenangi Taylor pada malam bersejarah itu boleh diumpamakan sebuah kisah dongeng bagi seorang anak muda seperti Taylor.

Manakan tidak, sedari kecil minatnya terhadap muzik dan penciptaan lagu sehingga diperli oleh rakan-rakannya yang mahu melihatnya di pentas Grammy akhirnya menjadi satu realiti.

Malah, untuk menjadi seorang bintang ternama seperti hari ini juga tidak pernah ada dalam agendanya kerana apa yang dimahukan cuma menghasilkan muzik yang bagus.

"Ya Tuhan, saya harap anda semua tahu betapa besarnya penghargaan ini buat saya dan semua ahli keluarga saya bersorak serta menjerit keriangan dengan kemenangan ini.

"Ini semua akan menjadi kisah klasik yang akan diceritakan turun-temurun selepas ini," ucap Taylor dalam nada terharu sewaktu namanya diumumkan sebagai pemenangan untuk Album Terbaik pada malam itu.

Taylor memenangi kategori berkenaan bersandarkan kepada album keduanya, Fearless yang juga merupakan album terlaris 2009 dengan penjualan sebanyak 5.4 juta unit.

Apa yang membanggakan, pada usia 20 tahun, Taylor menjadi penyanyi paling muda memenangi gelaran tertinggi itu sepanjang penganjuran Grammy selama 52 tahun.

Ia sekali gus memadamkan rekod Alanis Morissette pada tahun 1995 yang memenangi kategori berkenaan pada usia 21 tahun menerusi album Jagged Little Pill.

Bukan itu sahaja, Taylor juga menjadi penyanyi country solo wanita pertama memenangi anugerah itu selain penyanyi pop wanita selepas Celine Dion yang pernah dinobatkan dengan gelaran itu pada tahun 1997 menerusi album Falling Into You.

Malah, album Fearless turut memenangi kategori Album Country Terbaik manakala salah sebuah lagu dalam album berkenaan, White Horse telah menobatkan Taylor dengan gelaran Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik serta Lagu Country Terbaik.

"Berdiri di atas pentas ini, membuatkan saya mengimbas kembali ketika saya berada di Gred Dua sewaktu menyanyi untuk acara di sekolah saya.

"Ketika itu, ramai yang bercakap kepada saya bahawa mereka mahu melihat saya di Grammy satu hari nanti dan pada saya, itu merupakan mimpi yang cukup mustahil untuk direalisasikan.

"Dan, kini saya berdiri di sini umpama sedang menerima mimpi itu," kata Taylor yang turut berpeluang mengadakan persembahan dengan idolanya, Stevie Nicks menerusi lagu Today Was a Fairytale, Rhiannon dan You Belong with Me.

Antara pemenang lain yang menang besar pada malam Grammy ke-52 termasuklah Black Eyed Peas dan Jay-Z yang memenangi tiga anugerah manakala Colbie Caillat, Lady Gaga, Maxwell dan Kanye West masing-masing memenangi dua trofi.

Selain daripada pemenang yang menjadi tumpuan pada malam itu, barisan artis yang membuat persembahan juga tidak kurang hebatnya.

Itulah magis Grammy yang mengambil pepatah muzik itu universal apabila mengetengahkan pelbagai genre muzik sebagai variasi dalam menghiburkan audiens.

Malam dibuka dengan persembahan hebat Lady Gaga menerusi lagu Poker Face dan Speechless yang kemudiannya berduet dengan Sir Elton John untuk lagu Your Song.

Beyonce terus membuktikan kehebatannya sebagai seorang penghibur apabila tampil dengan persembahan penuh energetik sewaktu menyampaikan lagu If I Were A Boy dan You Oughta Know.

Antara yang menarik juga pada malam itu ialah persembahan theatrical oleh Pink sewaktu menyampaikan lagu Glitter In The Air telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Bukan itu sahaja, persembahan dua penghibur dari dua genre yang berbeza iaitu Mary J. Blige dan Andrea Bocelli untuk lagu Bridge Over Troubled Water dengan diiringi komposer terkenal, David Foster merupakan yang terhebat pada malam itu sehingga diberikan tepukan penghormatan (standing ovation).

Namun, nyanyian tribute untuk Michael Jackson oleh Celine Dion, Jennifer Hudson, Smokey Robinson, Carrie Underwood dan Usher menerusi lagu Earth Song sememangnya menimbulkan suasana syahdu di kalangan penonton.

Apa yang membuatkan persembahan itu cukup istimewa apabila ia turut menyelitkan filem mini secara 3D yang direka khas untuk konsert This Is It yang sepatutnya dijayakan oleh Michael.

Sejurus selepas persembahan berakhir, dua anak Michael iaitu Prince dan Paris muncul di atas pentas untuk menerima trofi Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Akademi Rakaman Michael Jackson daripada sahabat baik bapa mereka, Lionel Richie.

Untuk melihat senarai penuh pemenang bagi 109 kategori yang dipertandingkan, bolehlah melayari laman web rasmi, www.grammy.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: