Tuesday, February 2, 2010

Kami saman 2,600 kenderaan berat - MPSJ


KERATAN Kosmo! 31 Januari 2010


KUALA LUMPUR - "Kami tidak pernah pilih kasih dalam menguatkuasakan peraturan dan buktinya kami telah mengeluarkan 2,600 saman terhadap pemilik kenderaan berat yang meletakkan kenderaan mereka di taman perumahan sejak Oktober tahun lalu."

Demikian tegas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md. Ikhsan berhubung dakwaan pengusaha bas, Sahathevan S. Alagarasamy yang menuduh MPSJ berat sebelah kerana hanya bertindak menyaman dia seorang walaupun ada ramai pihak lain yang melakukan tindakan sama dengan meletakkan bas di hadapan rumah.

"Mungkin ada di kalangan mereka yang kami terlepas pandang tetapi kami tidak pernah pilih kasih," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Adnan, pihaknya bertindak menyaman pemilik kenderaan berat yang meletakkan kenderaan mereka di taman perumahan setelah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat.

Kosmo! semalam melaporkan dakwaan Sahathevan yang menyatakan tindakan saman sebanyak 75 kali bernilai RM75,000 yang diterimanya daripada MPSJ sejak tahun 2005 seolah-olah untuk mengenakannya.

Sahathevan mendakwa, ada banyak lagi pemandu bas yang melakukan kesalahan yang sama tetapi tidak disaman oleh MPSJ.

Sementara itu, Adnan memberi amaran kepada Sahathevan supaya membayar kompaun yang dikenakan mengikut Undang-undang Kecil Taman MPSJ 2005 dengan denda maksimum RM1,000 atau berhadapan dengan tindakan mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: