Tuesday, February 2, 2010

Isu setinggan Masjid Negara tugas Jawi




KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) menyerahkan isu setinggan Masjid Negara kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diselesaikan.

Katanya, ia bukan tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebaliknya Jawi adalah pihak yang paling tepat untuk mengambil tindakan kerana ia melibatkan institusi masjid.

"Isu setinggan ini saya serahkan kepada Jawi untuk mengatasinya termasuk menyelami masalah yang dihadapi oleh mereka yang menumpang tidur di waktu malam di situ," katanya selepas menghadiri majlis meraikan kelahiran baru dan sumbangan hamper kepada pesakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai golongan merempat dan penagih dadah yang menjadikan persekitaran Masjid Negara sebagai tempat tidur mereka setiap malam.

Menurut laporan itu, keadaan sekitar Masjid Negara tidak ubah seperti penempatan setinggan terutama pada waktu malam apabila dipenuhi puluhan lelaki yang tidur di atas bangku atau bentangan kertas dan keadaan itu telah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed menyatakan kesediaan pihaknya untuk menahan penagih dadah yang menjadikan Masjid Negara sebagai tempat bermalam.

Menurut beliau, walaupun tindakan itu di luar bidang kuasa AADK tetapi pihaknya bersedia berbuat demikian jika diminta oleh pihak Masjid Negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: