![]() |
| ZULKARNAIN Ismail menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis isterinya pada upacara membatalkan air sembahyang. |
KALAU sudah jodoh, tidak ke mana. Itulah yang berlaku kepada bekas pelajar Akademi Fantasia 1 (AF1), Nija atau Siti Harnizah Tahar, 27.
Nija yang kini bergelar isteri kepada Zulkarnain Ismail, 26, pernah putus cinta dengan lelaki berkenaan pada tahun 2003 sewaktu dia memulakan langkah seni selepas menyertai AF1.
Menurut Nija, ketika itu dia tidak yakin untuk menjalin hubungan secara serius dan sejak itu mereka tidak pernah berhubungan secara rasmi sehinggalah pada Disember 2008.
Setelah kembali memadu kasih, akhirnya Nija dan Zulkarnain secara rasmi mengikat tali pertunangan pada 1 Ogos tahun lalu.
Mereka kemudiannya disatukan sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz oleh Timbalan Imam Besar Negeri Johor, Datuk Mahat Mohd. Said pada pukul 9.45 malam, Sabtu lalu di kediaman Nija, di Taman Bukit Saujana, Johor Bahru.
Nija yang tidak dapat menahan air matanya sewaktu membaca khutbah nikah selepas majlis pernikahan pada malam itu turut menerima hantaran sebentuk cincin emas putih.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia tidak dapat menahan sebak kerana setelah acara akad nikah selesai, akan bermulalah satu fasa baru dalam kehidupannya.
"Setelah bergelar isteri, Nija ada tanggungjawab baru. Apa pun Nija akan cuba buat yang terbaik antara rumah tangga dan kerjaya.
"Nija bersyukur kerana terus mendapat sokongan suami untuk meneruskan kegiatan seni. Apa pun Nija kena bijak mengurus antara rumah tangga dan kerjaya," katanya yang tampak anggun dengan pakaian berwarna putih pada majlis pernikahan itu.
Justeru itu katanya, sejak bertunang dia sering dihantar dan diambil oleh Zulkarnain apabila ada undangan menyanyi.
Aturan tersebut dibuat untuk memudahkan mereka mengatur jadual kerja masing-masing selepas berumah tangga.
"Dulu kami jarang bertemu sebab Nija menetap di Kuala Lumpur dan cuma selepas bertunang sahaja Nija lebih banyak menetap di Johor Bahru.
"Jadi kalau ada persembahan hujung minggu ketika itu, memang Zul yang hantar. Kami cuba mengubah rentak hidup masing-masing bersesuaian dengan status baru," katanya yang akan menetap di rumah sendiri selepas bernikah.
Mereka yang merancang untuk berbulan madu di Bali bagaimanapun tidak menetapkan tarikh sebenar kerana ketika ini masing-masing terikat dengan komitmen.
Sementara itu, Zulkarnain yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura berkata, dia dan Nija tidak merancang untuk menimang anak pada waktu terdekat atau lambat.
"Kalau Allah bagi rezeki awal, saya terima seadanya. Saya suka kalau dapat sepasang anak," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Zulkarnain yang memberi wang hantaran sebanyak RM20,000 dan mas kahwin bernilai RM200 kepada Nija berharap mahligai yang dibina akan berkekalan sehingga akhir hayat.
Pihak lelaki turut membawa sembilan dulang hantaran dan berbalas 11 daripada pihak perempuan.
Kedua-dua mempelai yang disandingkan di atas pelamin berkonsep kontemporari moden itu turut mendapat kunjungan daripada rakan-rakan AF1 seperti Khai dan isteri, Rosma serta Sahri.
Menurut Sahri, hubungan mereka tidak pernah putus dengan Nija walaupun masing-masing telah membawa haluan sendiri sebaik sahaja selesai AF1.
"Saya dengan Nija memang sentiasa berhubungan. Begitu juga dengan Khai dan Rosma. Selalunya antara kami akan saling bantu membantu dalam setiap persembahan.
"Jika saya tidak dapat hadir, saya akan cadang pada penganjur agar mengambil Khai, Rosma atau Nija.
"Saya memang tidak dapat lari daripada datang ke majlis persandingan Nija.
"Masa majlis pertunangan saya datang, jadi kali ini tak datang pun tak apa, tapi berkali-kali Nija mengingatkan saya.
"Untuk tidak menghampakan Nija, saya ketepikan urusan lain," katanya.
Majlis persandingan yang mula pada pukul 11 pagi hingga lima petang itu, dihadiri kira-kira 2,000 tetamu yang rata-rata adalah sanak saudara di sebelah ayah, Tahar Ibrahim, 60, dan ibu, Saniah Arshad, 55, serta jiran tetangga.
Kata Tahar, dia sengaja mengadakan majlis perkahwinan anak sulungnya itu di tempat kediaman kerana dengan cara itu majlis gotong royong dapat dilakukan.
"Ini adalah majlis perkahwinan pertama dalam keluarga saya, sudah pasti saya mahukan yang paling meriah. Sebab itulah saya tidak menggunakan katering.
"Masak memasak semuanya diuruskan oleh adik beradik saya yang didatangkan khas dari Singapura. Bila berkumpul begini barulah seronok," katanya tersenyum.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: