Wednesday, February 3, 2010

Buang niat melancong

BUKAN ‘melancong’ tetapi aksi dalam Liga Slovakia seharusnya menjadi pentas buat pemain Harimau Muda A membuktikan keupayaan mereka, sekali gus sebagai jaminan nama mereka akan tetap tersenarai dalam skuad berkenaan.

IMBAS KEMBALI...pemain Harimau Muda, ketika dilatih Ong Kim Swee, menjalani latihan dalam kunjungan siri perlawanan di Slovakia dan Hungary, September lalu.
IMBAS KEMBALI...pemain Harimau Muda, ketika dilatih Ong Kim Swee, menjalani latihan dalam kunjungan siri perlawanan di Slovakia dan Hungary, September lalu.

Prestasi anak buah ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah akan dinilai dan dipantau dengan teliti sepanjang tempoh mereka di Slovakia dan hakikat itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad.


“Jika ada antara mereka yang mempamer aksi tidak memuaskan, kami tidak akan teragak-agak mengetepikan nama mereka. Kontrak mereka akan tamat hujung Mei ini dan jika aksi longlai dipersembahkan, kami tidak akan membaharuinya.


“Kami akan menilai prestasi pemain dari masa ke semasa. Kontrak mereka tidak akan dilanjutkan secara automatik. Kalau bagus, kita beri kontrak baru dan begitulah sebaliknya.


“Perlawanan liga di Slovakia adalah antara ujian buat mereka, maka mereka kena buktikan keupayaan masing-masing bagi memastikan nama mereka kekal dalam skuad ini.


“Kami mahu pemain yang terbaik untuk mewakili negara ke Sukan Sea tahun depan. Justeru, kami mengamalkan konsep terbuka dalam pemilihan pemain. Kami akan terus mencungkil bakat baru dengan bantuan jurulatih negeri.


“Pemain yang ada sekarang adalah mereka yang kami pilih dari awal dan buat masa ini, mendapat peluang menerusi program yang sudah kami rancang,” katanya.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula berkata Azraai dan anak buah dijadualkan berlepas ke Slovakia pada 19 atau 20 Februari ini dan perlawanan pertama Harimau Muda A ialah pada 27 Februari.


“Mereka perlu berada di sana lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di Slovakia,” katanya.


Harimau Muda A menjadi sandaran FAM untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea pada temasya tahun depan yang bakal berlangsung di Indonesia, dan mesyuarat exco FAM yang bersidang Ahad lalu memutuskan mereka akan mengharungi Liga Bawah 21 Tahun Slovakia.


Semuanya dirancang badan induk kebangsaan itu selepas penyertaan skuad yang muncul juara Liga Perdana musim lalu itu dalam Liga Super ditolak manakala cubaan FAM menyenaraikan mereka dalam Liga S pula tidak dibenarkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: