KUALA LUMPUR: “Saya bersyukur dengan keputusan ini, ia satu keputusan yang begitu menyenangkan. Saya tahu pada masa itu saya berada di pihak yang benar,” kata penyanyi Asmawi Ani atau Mawi.
Mawi berkata demikian ketika dihubungi selepas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak saman RM1 juta yang dikemukakan syarikat minuman Yassa Sdn Bhd (YSB) terhadap Mawi World Sdn Bhd (MWSB) kerana didakwa melanggar hak harta intelek berikutan didakwa mengeluarkan produk air mineral tanpa kebenaran syarikat asal.
Menurut Mawi, 29, sepanjang kes itu berjalan, ramai bertanya apa sebenarnya berlaku, namun dia lebih senang menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan kes berkenaan.
“Ramai orang tanya saya mengenai kes itu, tapi saya tak mahu bercerita panjang kerana biarlah peguam saya yang menguruskannya. Apa pun memang saya bersyukur dengan keputusan hakim hari ini (semalam),” katanya yang tidak hadir pada prosiding semalam. Dalam prosiding semalam, Hakim Datuk Azahar Mohamed yang menolak tuntutan saman itu dengan kos berkata Yassa sebagai plaintif dalam kes itu tidak menunjukkan keterangan mengenai kerugian dialami hasil penggunaan butiran maklumat lesen Yassa yang digunakan Mawi World bagi pengeluaran air mineral berjenama ‘Mawi World’.
Tambahnya, mahkamah menerima keterangan saksi defendan kedua, bekas pengurus syarikat Johtow Corporation (syarikat yang dilantik MWSB untuk membekalkan air mineral itu), Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, bahawa syarikat berkenaan diberi kebenaran menggunakan butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa pada botol air mineral jenama ‘Mawi World’ itu. Azahar berkata, mahkamah menerima keterangan saksi kedua defendan selepas dia tidak melihat ada sebarang alasan untuk menolak keterangan berkenaan.
“Dalam kes ini, kalau pun butiran berkenaan adalah harta (seperti didakwa plaintif), tetapi keterangan menunjukkan plaintif sendiri memberikan kebenaran untuk menggunakannya.
| |
“Oleh yang demikian alasan tuntutan plaintif adalah tidak berasas, malah plaintif sendiri tidak memberikan keterangan berhubung apa-apa kerugian yang dialami berikutan penggunaan butiran berkenaan.
“Saya tidak mempunyai pilihan selain menolak tuntutan plaintif dengan kos,” katanya.
Terdahulu dalam hujah kedua-dua pihak, Azhar meminta peguam plaintif, Adnan Seman untuk mengemukakan bukti seperti penyata akaun atau jumlah keuntungan bagi menyokong jumlah ganti rugi RM1 juta yang dituntut Yassa.
Bagaimanapun Adnan berkata, kerugian yang dialami Yassa bukan secara terus tapi dari hasil penggunaan maklumat yang ada di lesen itu menyebabkan Mawi World mendapat keuntungan secara salah.
“Mengikut rekod syarikat Johtow, Mawi World pernah membuat tempahan 300 kotak air mineral itu dan jika kita ambil kira jumlah berkenaan dan promosi yang dibuat Mawi World, ia mengakibatkan kerugian pada plaintif,” jelas Adnan. Pada 31 Oktober 2006, MWSB milik Mawi disaman RM1 juta berikutan didakwa mengeluarkan produk air mineral tanpa kebenaran syarikat asal. Mereka mendakwa Mawi World melanggar hak harta intelek dengan memasarkan air galian di bawah jenama ‘Mawi World’ menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat.
YSB memfailkan saman dan menuntut ganti rugi dengan menamakan MWSB yang beralamat di No 43A, Jalan SG 3/10, Taman Seri Gombak, Batu Caves, sebagai defendan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: