![]() |
| PERSEMBAHAN Avidity ketika Twisties Bingit Rockin' Party di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
MENJUARAI Twisties Bingit musim kedua dengan membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 termasuk wang tunai RM20,000, Avidity kini sudah bersedia untuk melangkah memeriahkan medan seni tanah air.
Dianggotai Mohd. Yusof Ahmad, 27, atau mudah dipanggil Uchop; Mohd. Zulazli Ismail, 20, (Ijoi); Valentine Arthur Dangin, 23, (Karuk); dan Fazreen Rezza, 23, (Z), mereka baru sahaja selesai merakamkan single pertama berjudul Girang Si Kongkang.
Bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone, 'rock kapak' iaitu aliran muzik rock era tahun 1980-an menjadi pertaruhan mereka dalam melayari lapangan muzik tempatan.
Sedang dalam proses pembikinan album sulung, setakat ini, Avidity sudah memiliki lima buah lagu hasil sentuhan Edrie Hashim serta lagu ciptaan mereka sendiri, Impian.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan untuk mengejar populariti, Avidity sebenarnya masih belum mempunyai imej yang sesuai untuk mengetengahkan nama kumpulan mereka.
Imej berpakaian, sebagai contohnya, perlu dipertingkatkan agar mudah untuk dikenali oleh pemerhati hiburan tanah air.
Menyedari akan hakikat tersebut, Uchop selaku vokalis Avidity berkata, pihaknya akan 'mencipta' imej sendiri yang boleh dipadankan dengan perjuangan muzik mereka.
"Matlamat kami adalah untuk meneruskan kesinambungan muzik rock yang sezaman dengan Search, Wings dan May.
"Rock kapak pada waktu ini masih diterima oleh peminat rock. Sambutan yang diberikan tetap baik.
"Atas dasar itu, Avidity akan mencipta imej yang kena dengan lagu yang dibawakan nanti,'' katanya ketika ditemui di Twisties Bingit Rockin' Party di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama memeriahkan parti tersebut Hattan, Jay Jay serta Andy Flop Poppy.
Pertandingan akhir Twisties Bingit menyaksikan empat buah band berentap untuk merebut gelaran juara.
Selain Avidity, tiga lagi kumpulan ialah Rocket Planet yang sekadar berpuas hati sebagai naib juara, Floor 88 (tempat ketiga) dan The Musicians (tempat keempat).
Ketika kali pertama dianjurkan, Twisties Bingit telah berjaya mengetengahkan bakat pemuzik yang kini bergerak secara indie, Modread. Bagaimanapun, ketika itu pertandingan tersebut tidak disiarkan di kaca televisyen.
Berikutan sambutan hangat yang diterima daripada penonton, ia ditayangkan di sebuah stesyen TV swasta.
Menyambung kata-kata, Uchop yang berasal dari Kedah menjelaskan bahawa selain masih tercari-cari imej bersesuaian, Avidity juga masih belum mempunyai pengurus dalam menguruskan perihal kumpulan berkenaan.
"Mencari pengurus adalah misi utama kami untuk bergerak dalam arus muzik perdana,'' jelasnya.
Ditanya mengenai persefahaman antara anggota Avidity, Uchop berkata, pada awal penyertaan mereka di dalam Twisties Bingit, persefahaman tersebut dilihat agak susah untuk dibentuk.
"Ini kerana kumpulan ini dibentuk dengan anggota yang saling tidak mengenali antara satu sama lain.
"Ijoi berasal dari Perak, Karuk pula datang dari Sabah manakala Z adalah orang Kuala Lumpur.
"Kami berkenalan pun hanya di dalam Twisties Bingit. Tetapi, lama kelamaan, keserasian itu dapat dibentuk sehingga kami bergelar juara,'' katanya.
Beza antara Avidity dan AVDT?
Sementara itu, Uchop turut diajukan persoalan mengenai apakah nama Avidity akan kekal digunakan sejurus mereka melangkah ke dalam muzik arus perdana.
Kata Uchop, sebenarnya, nama Avidity memiliki sebutan yang sama dengan band asal yang dianggotainya iaitu AVDT.
"AVDT masih wujud dan saya masih menganggotainya. AVDT pun akan keluar dengan album.
"Insya-Allah kami akan bermesyuarat dalam menentukan sama ada Avidity dikekalkan namanya atau tidak untuk mengelak kekeliruan.
"Tetapi, kalau hendak tukar pun, bukannya mudah kerana Avidity sudah dikenali menerusi platform Twisties Bingit,'' menurutnya.
Jelasnya, selain dirinya, Ijoi, Karuk dan Z turut memiliki band masing-masing yang sudah dibentuk sebelum menyertai Twisties Bingit.
"Kami tidak akan melupakan band asal. Band asal Ijoi adalah Black Star manakala Karuk dengan band Jiaja dan Z, Istana Band. Cuma, kami perlu pandai bahagi masa dengan baik antara Avidity dan band asal masing-masing,'' ujar Uchop.
Pesanan Edrie, Jay Jay
Mengenai Edrie yang banyak memberikan hala tuju Avidity, Uchop memberitahu, Edrie merupakan insan yang sentiasa melontarkan nasihat untuk Avidity meneruskan langkah sebagai anak seni.
"Edrie banyak memfokus kepada bagaimana hendak membawakan lagu dengan lebih baik.
"Juri Twisties Bingit itu juga turut mengajar kami tentang soal kualiti muzik, bunyi serta peralatan muzik.
"Tidak dilupakan, Edrie juga banyak memberikan tips untuk kami membina imej,'' katanya.
Selain Edrie, jelasnya, Jay Jay juga merupakan insan seni yang turut mengajar Avidity tentang perilaku dan disiplin.
"Apa yang penting, kata Jay Jay sebagai artis, kami perlu bersikap rendah diri,'' tambahnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: