Tuesday, February 2, 2010

Altimet yakin hip hop ada peminat tersendiri



Selepas setahun lebih pelancaran album solo hip hop yang pertama, First Among Equals, Altimet kini kembali dengan album solonya yang keduanya berjudul ‘Jian’ yang membawa maksud ‘penjaga’ dalam bahasa Mandarin. Album yang diterbitkan oleh Powder Records dengan kerjasama Kartel Records ini memuatkan enam lagu seperti Yok Goyang, Grind, Syukur, Hello, I Am dan Mimpi yang menampilkan gandingan mantapnya bersama dengan Ning Baizura.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman telah memulakan karier seninya 10 tahun lalu. Dia pernah menerajui kumpulan Teh Tarik Crew selama lebih sembilan tahun sebelum memulakan karier solonya. Altimet mula dikenali apabila lagu Chantek nyanyiannya bersama Adeep Fabulous Cat mendapat sambutan yang hangat. Berbekalkan modal sendiri, Altimet kemudiannya menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Powder Record, dan seterusnya muncul dengan album solo terbaru.

“Tiada apa di dalam dunia ini yang boleh membuat saya berasa puas melainkan apabila melihat lagu-lagu ciptaan saya diterima baik oleh semua lapisan masyarakat dan lagu ini memiliki irama yang bersifat universal yang membolehkannya menarik minat ramai orang.

“Saya dahulu memang selalu juga mendengar dan mengumpul muzik daripada genre dan era yang berbeza. Pengalaman saya yang lalu sebagai sumber inspirasi untuk lagu dan saya kerap bersaing dengan diri saya sendiri untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya yang telah melancarkan album solo keduanya itu pada Disember lalu.

Pengaruh muzik jenis indie yang dilihat semakin meluas dalam industri muzik tanah air, ternyata sedikit pun tidak menggugat pendirian Altimate untuk meneruskan dan memperjuangkan irama hip hop yang sudah sebati dalam dirinya. Bagi Altimate, dia yakin muzik jenis itu masih ada peminatnya sendiri.

“Saya percaya rakyat di negara kita, boleh menerima semua aliran muzik. Malah saya percaya, sehingga ke hari ini kita masih ada peminat hip hop. Pada saya, hip hop ialah satu bentuk ekspresi yang tulen dan hip hop itu sendiri memang berdasarkan kata-kata besar dan menunjukkan keyakinan melampau yang boleh digunakan untuk tujuan provokasi dan itulah adalah tradisinya sejak dulu lagi,” katanya dengan penuh optimis.

Dengan membuat kemunculan semula di persada seni muzik tanah air, Altimet berharap 2010 ini memberikan sinar baru terhadap karier seninya selain ingin terus berjuang dan bertahan lama di kalangan peminat muzik. Meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran yang paling getir, yakni kemerosotan pasaran album dan industri muzik keseluruhannya, namun ia tidak menjadi penghalang untuk Altimet mencuba nasib. Bagi Altimate, itulah tugasnya untuk mengembalikan semula kegemilangan muzik tanah air.

“Semua artis tidak harus takut dengan fenomena ini. Kita tidak seharusnya melihat dan menunggu bila industri muzik kita akan maju. Sebaliknya kita harus berjuang untuk mengembalikan semula kegemilangannya. Kalau kita semua takut nak menyanyi, nak buat album, industri muzik kita tak akan ke mana,” katanya yang akan sibuk dengan roadshow untuk mempromosikan album barunya itu.

Menurut Altimate, selain mengadakan roadshow di semenanjung, dia juga bakal terbang ke Kuching untuk mempromosikan album serta mendekati peminat di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: