KELANA JAYA: Tidak tahan menyembunyikan rasa bersalah atas perbuatan anak gadisnya yang menanam bayi baru lahir menyebabkan seorang ibu nekad membuat laporan polis sebelum mayat bayi yang ditanam di kawasan pembuangan sampah itu ditemui.
Difahamkan, gadis berusia 15 tahun berkenaan yang melahirkan bayi tidak cukup bulan minggu lalu bertindak memasukkan bayi terbabit ke dalam bungkusan surat khabar sebelum dibalut pula dengan sarung bantal.
Gadis terbabit kemudian dikatakan menyembunyikan bayi yang sudah mati itu ke dalam plastik sebelum menanamnya di kawasan pembuangan sampah kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Cempaka, di sini.
Sumber polis berkata, ibu gadis terbabit yang mungkin berasa berdosa atas perbuatan anaknya itu dikatakan memaksa mangsa mengikutnya ke Balai Polis Kelana Jaya untuk membuat pengakuan terhadap perbuatannya itu.
|
Menurutnya, hasil laporan diterima itu, pihak polis dibantu lapan anggota forensik bertindak pergi ke lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang semalam bagi melakukan siasatan selain mengeluarkan mayat bayi berkenaan.
Pihak polis terpaksa memanggil ibu gadis terbabit yang berusia 50-an keluar dari rumahnya bagi menunjukkan lokasi tepat mayat bayi berkenaan ditanam di kawasan pembuangan sisa sampah pepejal berhampiran.
Susulan maklumat diperoleh itu, anggota polis forensik memulakan kerja menggali berhampiran kawasan belukar berkenaan sebelum menemui satu bungkusan plastik di dalam lubang sedalam kira-kira 0.2 meter.
Berdasarkan apa ditemui, polis membuka plastik terbabit sebelum menemui kertas surat khabar dan kain sarung bantal digunakan untuk membalut bayi terbabit yang dalam keadaan berdarah.
Bagaimanapun ketika ditemui, mayat bayi terbabit dikatakan mulai reput hingga menyukarkan polis untuk mengenal pasti jantina serta punca kematiannya. Susulan itu, mayat bayi berkenaan yang sudah mereput terpaksa dibungkus dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Ibu gadis terbabit yang ditemui di lokasi kejadian mendakwa anak gadisnya sebelum ini diperkosa seorang lelaki kumpulan samseng sekitar Mac dan April lalu.
Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan anaknya mengandung sebelum melahirkan kandungan terbabit dalam keadaan tidak cukup bulan di rumahnya.
“Anak saya kemudian tanam bayi itu di depan rumah. Kalau simpan (mayat bayi) dalam rumah nanti akan berbau busuk,” katanya yang turut menemani polis ketika kerja menggali dilakukan.
Dia yang sudah kematian suami sejak beberapa tahun lalu mendakwa bayi terbabit dipercayai mati ketika dilahirkan tidak cukup bulan.
“Mula-mula saya mahu diam tapi perkara ini adalah salah dan saya tidak mahu subahat. Saya mahu orang jahat (suspek yang merogol anaknya) kena tahan polis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut berikutan polis masih menyiasat motif kejadian berkenaan.