CHERAS – Pembinaan surau sudah hampir 60 peratus siap, namun kos perlu ditanggung belum mencukupi menyebabkan kerja di tapak Surau Al Falah, Bandar Damai Perdana di sini, terpaksa dihentikan sehingga baki kos diperlukan sebanyak RM530,000 diperoleh.
Setiausaha Penaja Jawatankuasa Pembinaan Surau Al Falah, Rozaini Abu Bakar berkata, pihaknya kini masih berhutang dengan kontraktor bagi kerja yang sudah disiapkan.
Menurutnya, penduduk memerlukan bangunan surau kerana tiada kemudahan itu sejak perumahan diduduki 20 tahun lalu.
Kemudahan masjid juga katanya, terletak agak jauh iaitu kira-kira empat kilometer dari kawasan perumahan dihuni.
Rozaini berkata, Surau Al Falah adalah yang pertama dibina di Bandar Damai Perdana dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM850,000.
"Tapak surau di Jalan Damai Perdana 2/7B sudah digazet dan mendapat kelulusan membangun daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta pihak berkenaan yang lain.
"Jawatankuasa surau juga berjaya kumpul dana sebanyak RM320,000 setakat Mei lalu hasil pungutan khairat pembinaan," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak surau masih kekurangan dana sebanyak RM530,000 untuk menyiapkan kemudahan lain termasuk tempat wuduk, tandas, pantri dan bilik pengurusan jenazah.
“Perancangan pembinaan surau sudah disuarakan sejak 2011, namun ia hanya berjaya dimulakan tahun lalu.
“Meskipun belum siap sepenuhnya, penduduk sudah mula menunaikan solat sunat tarawih di ruang utama. Sekarang ini, kerja di tapak baru siap hampir 60 peratus,” katanya perumahan itu mempunyai kira-kira 1,000 penduduk Islam.
Beliau berkata, jawatankuasa memerlukan sumbangan orang ramai, syarikat korporat atau persendirian bagi membolehkan kerja pembinaan surau diteruskan kembali.
Sumbangan wang tunai boleh disalurkan ke akaun Maybank 564856113715 atas nama Surau Al Falah Bandar Damai Perdana.
Sebarang keterangan lanjut boleh berhubung dengan Pengerusi Penaja, Afrizan Husain (019-3301436); Timbalan Pengerusi, Ahmad Soleh Hafsudduri (019-3191509) atau Bendahari, Zulkifli Md Yusoff (017-8710883).