SEMPENA Aidilfitri yang bakal tiba, Kerisik Food Marketing menyediakan perkhidmatan hamper raya istimewa buat pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Terkenal sebagai syarikat yang membekalkan serunding asli ke luar negara seperti Brunei dan Singapura, Kerisik Food Marketing turut menjadikan juadah popular itu sebagai hamper raya setelah menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.
Pengarah dan juga pengasasnya, Mas Hasfarizan Jumari, 39, berkata, serunding jenama Kerisik itu diambil khas dari Kelantan yang mana ia terkenal dengan kesegaran dan  keaslian rempah ratusnya.
“Saya menjadi pembekal serunding ini sejak setahun lalu dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Terdapat tiga jenis serunding yang disediakan iaitu, daging, ayam dan ikan. Antara ketiga-tiga itu, serunding daging paling mendapat tempahan tinggi.
“Oleh kerana ada permintaan untuk dijadikan sebagai hamper raya, maka timbullah idea untuk memasarkannya kepada pelanggan,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.
Mas Hasfarizan berkata, selain memastikan kesegaran serunding, dia turut menitikberatkan pembungkusan hamper yang mana dia sendiri mereka bentuk pembungkusan itu agar dilihat lebih eksklusif .
Katanya, selain serunding, hamper raya itu turut mengandungi beberapa jenis kuih raya yang dipilih khas daripada usahawan tempatan di seluruh negara.
“Saya merupakan ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Dari situ saya menawarkan peluang kepada usahawan yang ada untuk menjadi pembekal kuih raya terhadap projek hamper ini.
“Alhamdulillah, penyertaan yang diterima sangat menggalakkan. Daripada 35 syarikat yang terdiri daripada kilang dan individu termasuk ibu tunggal, hanya lima sahaja yang terpilih menerusi juri khas yang dilantik,” katanya.
Mas Hasfarizan berkata, terdapat tiga pakej yang disediakan; set 1 (RM180) mengandungi serunding daging bersama lima jenis kuih iaitu bangkit cheese, nestume crunchy, kapit inti coklat, casablanca dan maruku kesuma.
Set 2 (RM120) pula mengandungi tiga kuih iaitu seri dahlia, tart gulung, crunchy nuts dan juga serunding daging.
Sementara set 3 (RM70) pula terdiri daripada serunding daging bersama dua jenis kuih iaitu bangkit cheese dan seri dahlia.
“Setiap  pakej yang disediakan adalah sangat terhad, hanya seribu unit untuk setiap set. Buat masa ini saya sudah berjaya menjual setengah daripadanya.
“Memandangkan ia sangat terhad maka tempahan hanya dibuka untuk sekitar Lembah Klang sahaja dan penghantarannya dilakukan terus ke pintu,” katanya.
Mas Hasfarizan berkata, dia turut menyediakan serunding dalam paket 550 gram dengan harga RM40 bagi memenuhi permintaan sepanjang Ramadan dan Syawal.
Berkongsi perancangannya, pemegang Ijazah Perundangan Islam dari Universiti Jordan ini, dalam usaha mempelbagaikan lagi produk di bawah jenama Kerisik serta meluaskan lagi pasaran ke luar negara dengan kerjasama kementerian tidak lama lagi.