BUKANLAH satu tempoh yang singkat apabila lebih lapan tahun selebriti ini mengabdikan diri dalam industri hiburan.
Namun, dalam fasa itu, Keena Mentor atau nama sebenarnya, Suriana Abdul Wahab diketahui ramai tetapi kehadirannya bagaikan tidak meninggalkan kesan di hati peminat.
Biarpun dilihat kurang menyerlah, hakikatnya selebriti berusia 29 tahun ini sudahpun menghasilkan 12 single, membintangi pelbagai drama dan filem selain muncul sebagai pengacara.
Bahkan, Keena juga mempunyai 14,800 pengikut di Instagram dan lebih 3,000 rakan serta peminat di Facebook.
Mengakui akan perkara itu, Keena bagaimanapun sentiasa bersyukur kerana rezekinya dalam dunia seni tidak pernah putus.
"Saya sedar dan tahu bukan semua orang mengenali saya. Sebab itu juga, saya selesa untuk kekalkan nama ‘Mentor’ di belakang nama saya.
"Lagipun, saya dilahirkan menerusi program realiti itu, jadi tidak salah untuk saya terus mengguna pakai nama tersebut sampai bila-bila.
"Tetapi, dalam masa sama, saya juga bersyukur kerana jadual aktiviti seni saya sangat padat baik menyanyi, berlakon mahupun mengacara," katanya kepada Zass.
Masih menaruh harapan untuk lebih dikenali suatu hari nanti, pelakon filem It’s The Moment Yang Arif ini juga sanggup menangguhkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hatinya.
"Seperti mana artis lain, saya juga mempunyai impian dan sasaran tertentu dalam karier.
"Insya-ALLAH, saya ada beberapa impian lagi yang masih belum tercapai dan akan mencuba untuk memenuhinya
"Apapun, saya takkan mudah berputus asa. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan gigih berusaha hingga berjaya," katanya.
Pada masa sama, Keena memberitahu akan memberi lebih fokus kepada dunia seni suara, tahun ini.
"Mujur juga saya berkebolehan untuk menyanyi dalam beberapa bahasa lain seperti Cina dan Inggeris.
"Oleh itu, saya akan memperlahankan aktiviti lakonan bagi merealisasikannya dan bakal muncul dengan sebuah single baharu, Berani ciptaan komposer terkenal, Saari Amri, selepas Hari Raya nanti.
"Saya juga sedang merancang mencari sebuah syarikat rakaman yang sudi menerbitkan album solo saya," katanya.
Keena yang juga anak didik kepada penyanyi terkenal Awie, bakal muncul dalam drama bersiri 20 episod, Marhaban Kome Oi dan telefilem, Muazzin untuk siaran TV3 pada Ramadan ini.
Tunai impian arwah ayah
Mengorak langkah dalam bidang ini, Keena juga mengikut jejak langkah selebriti lain dengan memperkenalkan jenama wangiannya sendiri, K.A.W Signature, baru-baru ini.
Kata anak bongsu daripada lapan beradik ini, keterlibatannya dalam bisnes tersebut kerana memenuhi impian arwah bapanya, Abdul Wahab.
"Ayah meninggal dunia ketika saya berusia 17 tahun kerana diserang angin ahmar.
"Arwah ayah sememangnya seorang suka akan bau-bauan wangian, malah, dia turut mengimpikan untuk melihat saya mengeluarkan minyak wangi sendiri.
"Alhamdulillah, akhirnya tercapai jua hasratnya itu," katanya.
Tambahnya lagi, jenama wangian keluarannya yang dihasilkan daripada campuran enam jenis bunga itu bagaikan memberi kepuasan terhadap perkembangan kerjaya seninya.
Pun begitu, lumrah sebagai artis, keterlibatan Keena dalam bidang perniagaan mengundang persepsi negatif di mata masyarakat sehingga ada yang ‘menuduhnya’ ditaja golongan VIP.
Enggan mengambil pusing, penyanyi lagu Bicara Apa Dengan Bahasamu ini mengakui tidak gentar dengan pelbagai tuduhan tidak berasas ini selain mengambil sikap tidak peduli untuk mengelakkannya daripada tertekan.
"Ingin saya tegaskan, saya tidak memerlukan tajaan sesiapa untuk meneruskan kehidupan.
"Macam bisnes ini, daripada segi bantuan modal, saya dibantu kakak yang bekerja di Abu Dhabi dan seorang saudara yang bernama Tok Mi.
"Jujurnya, saya sudah penat ‘melayan’ masalah ini. Sebelum ini, ada juga yang bercakap mengenai perkara ini.
"Padahal, semua ini merupakan hasil kerja keras saya yang ‘cari makan’ dalam bidang hiburan," katanya.