ORANG kata, kalau sudah ada bakat menyanyi, ke mana sahaja pergi, pasti akan berjaya. Begitu juga dengan Ayati Tasrip.
Selepas tamat persekolahan pada usia 17 tahun, Ayati mula bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumahnya di Kuala Kangsar, Perak.
Minat menyanyi yang pada awalnya hanya diketahui teman-teman rapat, akhirnya terbongkar setelah dicabar memasuki pertandingan nyanyian.
“Mereka selalu dengan saya nyanyi di tepi-tepi mesin tempat kami bekerja. Kerana itu, mereka suruh saya masuk pertandingan tu. Saya ni tidak pernah pasang niat nak jadi penyanyi.
“Masuk pertandingan tu pun setelah dipaksa oleh kawan-kawan. Tak sangka pula menang tempat pertama. Dari situlah saya mula rasa ada keyakinan diri dan dengan bakat yang ada, saya mula berhijrah ke Kuala Lumpur,”  katanya yang ditemui di kediamannya di Bukit Sungai Putih, Lembah Jaya, Ampang, Selangor.
Mengimbau saat kemenangan itu, Ayati berkata, ia berbaloi kerana selain berbekal vokal, dia bukanlah mampu untuk menyiapkan pakaian.
“Ingat lagi... pakaian yang saya pakai tu pun saya jahit sendiri labucinya. Tak ada modal, jadi saya tambah labuci aje di baju kebaya lama, biar nampak lain sikit,” katanya.
Selepas menang pertandingan itu, Ayati diminta datang ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan lagi bakatnya sebagai penyanyi.
“Arwah suami saya yang ketika itu memang sudah bermain muzik, minta saya ‘join’ Jabatan Penerangan untuk menjadi penyanyi.
“Saya pun pergilah sesi ujibakat yang diadili Allahyarham Karim Latif, pelakon yang cukup terkenal pada ketika itu. Beliau merupakan pengarah lakonan di Pentarama, Jabatan Penerangan,” katanya.
Sepanjang bersama Pentarama, banyak kenangan yang mengajar Ayati erti sebuah perjuangan dalam bidang seni.
“Kami banyak buat persembahan di kampung-kampung dan juga felda. Pada ketika itu, pentasnya hanyalah kayu. Paling bimbang, kalau hujan... memang akan kuyup.
“Perjalanan ke tempat persembahan juga memakan masa agak lama. Rasa sakit-sakit badan duduk dalam van. Tapi, itu semua pengalaman berharga buat saya. Gaji yang diperoleh juga tidaklah banyak hanya RM300. Kalau pemuzik mahal lagi bayarannya,” katanya.
Demi meneruskan kelangsungan hidup, Ayati sentiasa bersedia dengan bekalan mi segera.
“Inilah makanan ‘ruji’ kalau gaji lambat masuk. Tidak mahu menyusahkan ibu bapa di kampung, inilah cara saya cuba berjimat.
“Saya hanya kontrak dan gaji berdasarkan persembahan. Kalau ada, gaji pun adalah, jika tidak ada, duduk diam-diam sahaja,” katanya.
Setelah beberapa lama, Ayati mencuba nasib sebagai penyanyi Orkestra Tentera Darat atau Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD).
“BKTD ni ok sikit. Pendapatan pun lebih sikit dan sesekali persembahan kami disiarkan di televisyen. 
Cuba nasib Bintang RTM
Pada tahun 1986, saya mencuba nasib untuk masuk Bintang RTM. Saya mendapat tempat ketiga yang ketika itu johan disandang Noraliza Yusuf.
“Saya mengikat kontrak selama dua tahun bersama RTM selepas nekad berhenti BKTD. Walaupun, ada kawan-kawan yang menganggap keputusan itu akan merugikan, tetapi saya teruskan juga.
“Saya dipinang label SCS dan album pertama saya Di Mata Cinta berada di pasaran pada tahun 1991 dan penerbit album itu adalah Wan Zul dan A Ali,”  katanya.
Sejak itu, nama Ayati Tasrip terus meletop dengan rangkaian lagu-lagunya yang menjadi siulan ramai.
Setiap album, akan ada lagu hit yang menjadi kegemaran ramai.
Sepanjang aktif dalam bidang seni, enam album sudah berjaya dirakamkan. Lagu-lagu seperti Khazanah Dari Malaya, Cinta Dangdut, Seloka Bervisi menjadi hit sehingga kini.
“Lagu Cinta Dangdut juga telah mendapat pencalonan hingga ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik pada tahun 1995.
“Alhamdulillah, saya diterima sepanjang aktif pada ketika itu. Saya pertaruhkan bakat yang dianugerahkan ALLAH SWT untuk membesarkan empat anak-anak saya," katanya.
Mampu rap dalam lagu menjadikan Ayati antara penyanyi wanita yang memecah tradisi ketika itu.
"Walaupun rap tu biasa-biasa sahaja bukan macam hari ini, tetapi ia satu kelainan yang ditampilkan dalam sudut nyanyian saya.
"Saya menyanyi dangdut, balada, pop dan saya anggap sebagai penyanyi, itu menjadi kelebihan kalau kita dapat buat dengan baik,"  katanya.
Kini, menyingkap tempoh 20 tahun dalam industri, Ayati akan terus berjuang di pentas nyanyian menghiburkan peminatnya.
Di bawah label Allkind Music Entertainment, Ayati kembali aktif di pentas nyanyian.
"Dulu nyanyian adalah sumber pendapatan, tetapi sekarang ia lebih kepada suka-suka sahaja. Selepas suami saya meninggal dunia Januari lalu, saya dipanggil oleh Ifa Raziah untuk terlibat dalam Persatuan Bintang Dangdut Malaysia.
"Kami juga baru sahaja selesai rakaman lagu raya ciptaan Pak Ngah. Ini permulaan buat saya aktif semula. Dalam masa sama, saya juga sibuk menguruskan perniagaan makanan dan katering. Lagi-lagi dalam bulan Ramadan ni, saya akan berniaga makanan dan akan membuat lemang dan rendang seperti tahun-tahun sebelum ini,”  katanya.